Tiga individu yang didakwa atas pelbagai kesalahan termasuk mendera seorang pembantu rumah, dibebaskan selepas tuduhan mereka dikompaun.
Trio yang terdiri daripada Encik Avery Dahril Sateria, 27 tahun; Cik Aaden Lewis Norman, 31 tahun; dan Encik Becraft Warren Russell, 61 tahun – masing-masing diberikan pelepasan yang membawa kepada pembebasan pada 8 Ogos.
Ini bermakna mereka tidak boleh didakwa lagi atas kesalahan yang sama, lapor The Straits Times (ST).
Menurut undang-undang, hanya kesalahan tertentu yang boleh dikompaun, seperti menyebabkan kecederaan dan mencabul kehormatan.
Untuk membolehkan kesalahan dikompaun memerlukan persetujuan mangsa agar perkara itu diselesaikan menerusi pampasan, biasanya melalui pembayaran atau permohonan maaf.
“Setelah meneliti fakta dan keadaan kes, serta persetujuan mangsa, pendakwa raya bersetuju memenuhi permintaan tertuduh agar tuduhan mereka dikompaun,” kata Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 15 Ogos, sebagai respons kepada pertanyaan ST.
Tanpa mendedahkan butiran terperinci mengenai syarat pembayaran denda kompaun, jurucakap AGC memberitahu ST bahawa Encik Russell juga diberi amaran keras.
Hakim Daerah Wong Li Tein kemudian memberikan pelepasan kepada mereka.
Trio tersebut didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit di kondominium Bayshore Park berhampiran Upper East Coast Road antara 2018 dengan 2021. Dokumen mahkamah tidak mendedahkan hubungan mereka.
Pada Mac 2024, Encik Sateria didakwa dengan satu pertuduhan menyerang seorang pembantu rumah yang hanya dikenali sebagai Cik Sukiyati.
Cik Norman pula didakwa dengan dua pertuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja ke atas Cik Sukiyati. Kededua Encik Sateria dan Cik Norman adalah warga Singapura.
Encik Russell, seorang warga Amerika yang merupakan majikan Cik Sukiyati pada waktu itu, tidak didakwa menyerang pembantu rumah itu.
Namun, beliau didakwa dengan beberapa kesalahan termasuk membenarkan seorang wanita yang dikenali sebagai Cik Taslimah Sadakah mendera pembantu rumah tersebut.
Cik Taslimah tidak didakwa di mahkamah pada Mac 2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg