Tiga mangsa dikejarkan ke hospital susulan kebakaran di Jurong West Street 42 pada 9 Julai.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan di Facebook bahawa mereka dimaklumkan sekitar 10 pagi pada 9 Julai, tentang satu kebakaran yang berlaku di Blok 448, Jurong West Street 42.
Menurut SCDF, seorang mangsa terperangkap dalam salah sebuah bilik tidur flat berkenaan.
Akhbar The Straits Times melaporkan, sekitar 10 penduduk dari blok terjejas telah dipindahkan oleh pihak polis dan SCDF sebagai langkah pencegahan.
SCDF menyatakan api sedang marak di ruang tamu sebuah rumah di tingkat satu apabila pasukan mereka tiba.
Sedang sepasukan anggota bomba berusaha memadamkan api di ruang tamu unit itu, sepasukan lagi anggota bomba menjalankan usaha menyelamat, di bahagian belakang flat tersebut dan berjaya mengeluarkan individu yang terperangkap.
Anggota bomba yang bertindak untuk memadamkan api tersebut tiba dari Balai Bomba Jurong dan Balai Bomba Bishan.
Kebakaran tersebut berjaya dipadamkan menggunakan pancutan air,.
Seluruh unit tersebut mengalami kerosakan dan dicemari haba dan jelaga.
Mangsa yang diselamatkan didapati sesak nafas akibat terhidu asap dan dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH).
Sementara itu, dua penghuni dari unit berhampiran turut mengalami sesak nafas akibat terhidu asap dan turut dirawat di SGH.
Punca kebakaran masih disiasat.
Pada 2023, terdapat 970 kebakaran di bangunan kediaman.
Ia merupakan peningkatan 3.7 peratus daripada 935 kebakaran pada 2022, menurut perangkaan perkhidmatan perubatan kecemasan, kebakaran dan penguatkuasaan SCDF bagi 2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg