Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga individu dilantik wakil rasmi S’pura ke Qatar, Kuwait dan Pakistan

Feb 20, 2025 | 7:20 PM
(Dari kiri) Encik Abu Bakar Mohd Nor dilantik sebagai Duta Bukan Pemastautin Singapura ke Kuwait; Encik Ishak Ismail sebagai Pesuruhjaya Tinggi Bukan Pemastautin Singapura ke Pakistan; dan Encik Pong Kok Tian sebagai Duta Singapura ke Qatar.
(Dari kiri) Encik Abu Bakar Mohd Nor dilantik sebagai Duta Bukan Pemastautin Singapura ke Kuwait; Encik Ishak Ismail sebagai Pesuruhjaya Tinggi Bukan Pemastautin Singapura ke Pakistan; dan Encik Pong Kok Tian sebagai Duta Singapura ke Qatar. - Foto MDDI

Tiga individu – Encik Pong Kok Tian, Encik Abu Bakar Mohd Nor dan Encik Ishak Ismail – masing-masing telah dilantik sebagai wakil rasmi Singapura ke Qatar, Kuwait dan Pakistan oleh pemerintah.

Kementerian Ehwal Luar (MFA), dalam kenyataannya, berkata Encik Pong dilantik sebagai Duta Singapura ke Qatar; Encik Abu Bakar sebagai Duta Bukan Pemastautin Singapura ke Kuwait; dan Encik Ishak sebagai Pesuruhjaya Tinggi Bukan Pemastautin Singapura ke Pakistan.

Ketiga-tiganya menerima surat tauliah bagi pelantikan mereka itu daripada Presiden Tharman Shanmugaratnam, dalam satu majlis di Istana pada 18 Februari.

Encik Pong merupakan Ketua Pengarah Direktorat Eropah di MFA dari 2023 hingga 2025, dan Pengarah Direktorat Ehwal Korporat dari 2013 hingga 2019.

Beliau menyertai Perkhidmatan Ehwal Luar Singapura pada 1997 dan telah berkhidmat dalam pelbagai jawatan berkenaan isu berkaitan dengan Timur Tengah, Asia Tenggara, Asia Selatan dan Eropah.

Sementara itu, Encik Abu Bakar pula merupakan pengerusi M Kapital Holdings, dan juga pengerusi Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja di bawah Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Beliau juga Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dan memegang jawatan pengarah dalam beberapa pertubuhan lain seperti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) dan Fellowship Pertukaran Lee Kuan Yew di bawah MFA.

Encik Ishak pula konsultan utama di i-Grow Partners Pte Ltd, dan merupakan pengerusi Majlis Keluarga untuk Seumur Hidup serta Majlis Keselamatan Maritim di Laut Nasional.

Beliau juga anggota lembaga pengarah Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS).

Sebelum ini, beliau berkhidmat dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan bersara sebagai Brigedier Jeneral.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Abu Bakar, 59 tahun, berkata beliau berbesar hati diberi peranan untuk membantu memperdalami hubungan dua hala antara Singapura dengan Kuwait dalam pelbagai bidang, seperti ekonomi, antara rakyat, masyarakat dan budaya.

“Timur Tengah adalah rantau yang semakin berkembang dan penting. Di bawah Visi Kuwait 2035, Kuwait mahu menjadi hab kewangan dan perdagangan di peringkat serantau dan juga antarabangsa.

“Mereka mahu mempelbagaikan ekonomi di luar sektor minyak dan gas, contohnya, dalam pelabuhan, sistem pengangkutan dan inisiatif hijau.

“Singapura boleh berada di barisan hadapan untuk membantu dalam usaha transformasi Kuwait di Timur Tengah, dan mereka juga sedang melihat bagaimana Singapura dapat bekerjasama dengan Kuwait untuk membantu ekonomi dan negara mereka,” kata beliau.

Encik Ishak turut melahirkan rasa besar hati dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Bukan Pemastautin Singapura ke Pakistan, dan bersyukur diberi peluang untuk berkhidmat kepada negara.

“Pengalaman saya bersama SAF telah memberi saya pengamatan berharga tentang hal ehwal sejagat dan kerjasama antarabangsa. 

“Saya berharap dapat mengunjungi Pakistan tidak lama lagi untuk memberikan surat tauliah saya dan akan bekerjasama rapat dengan MFA bagi mempertingkatkan hubungan Singapura-Pakistan,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg