Pemandu yang menuju ke Malaysia pada 23 Julai dinasihatkan mengelak daripada menggunakan pusat pemeriksaan Tuas dari 5 pagi hingga 2 petang, kerana satu latihan tindak balas kecemasan akan dijalankan sepanjang tempoh tersebut.
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura dan Jabatan Alam Sekitar Malaysia, bersama beberapa agensi lain, akan melaksanakan latihan tumpahan bahan kimia sebagai sebahagian daripada program kerjasama dua hala di bawah Jawatankuasa Bersama Alam Sekitar Malaysia-Singapura, lapor The Straits Times (ST).
Sepanjang tempoh itu, ketiga-tiga lorong di lebuh raya Linkedua dari Singapura ke Malaysia akan ditutup, kata NEA dalam satu kenyataan pada 21 Julai.
Pemandu akan diarahkan ke laluan bertentangan sebagai laluan gantian.
NEA menasihatkan pemandu merancang perjalanan lebih awal, mengikuti arahan pengawal lalu lintas di lokasi dan mendengar stesen radio Singapura untuk mendapatkan kemas kini trafik.
Orang ramai turut digalak menggunakan pusat pemeriksaan Woodlands sepanjang tempoh itu.
Latihan dua hala tersebut melibatkan pelbagai agensi untuk mensimulasikan tindak balas kecemasan terhadap perlanggaran beberapa kenderaan, termasuk trak yang membawa bahan kimia di Linkedua Tuas.
NEA menasihatkan orang ramai supaya tidak panik semasa latihan berlangsung.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg