Topik diikuti
Pergi ke BHkuTiga peserta terpilih jalani residensi buat Topeng Malangan di Indonesia
Akan dalami secara khusus pembuatan kraf tradisional yang berasal dari Malang
Tiga peserta terpilih jalani residensi buat Topeng Malangan di Indonesia
Tiga peserta telah dipilih bagi Program Pensijilan Seni (ACP) kendalian Yayasan Warisan Melayu (MHF) dan akan berangkat ke Malang, Indonesia, pada 5 Oktober untuk menjalani program Residensi Pembuatan Topeng.
Mereka terdiri daripada Cik Amirah Haziqah Abu Bakar, Cik Maryam Tayeb dan Cik Chia Zalina.
Kesemua peserta yang dipilih mempunyai latar belakang dalam seni visual.
Namun, bagi residensi akan datang, mereka akan mendalami secara khusus tentang pembuatan Topeng Malangan, satu kraf tradisional yang berasal dari Malang, bahagian Jawa Timur di Indonesia.
Bagi Cik Amirah, 28 tahun, beliau mula rasa tertarik untuk menyertai program residensi itu selepas menyertai bengkel Tari Topeng yang dikendalikan oleh seorang peserta program Residensi Tari Topeng pada 2025, yang juga diadakan di Malang.
“Apabila saya menghadiri bengkel Tari Topeng itu, saya mula tumbuh minat terhadap topeng itu sendiri kerana setiap topeng mempunyai watak dan makna yang cukup signifikan.
“Jadi, secara semula jadinya, saya menjadi lebih tertarik akan proses yang mendalam di sebalik pembikinan topeng itu sebagai pelengkap seni persembahan Tari Topeng,” kata lulusan Maktab Seni Lasalle dalam bidang Seni Halus itu, yang kini merupakan seorang guru dalam bidang Kintsugi, sejenis seni tembikar Jepun.
Bagi Cik Zalina, 45 tahun, juga seorang guru seni, beliau melihat residensi itu sebagai wadah yang dapat menyatukan dua seni kegemarannya iaitu seni visual dan tarian.
“Apabila saya terlihat satu hantaran dalam Instagram berkenaan residensi itu, saya jadi sangat teruja kerana ia melibatkan seni visual atau kraf dan seni tarian.
“Dahulu saya pernah terlibat aktif dalam tarian jadi kededua seni itu merupakan ‘cinta pertama’ saya,” kata beliau.
Cik Maryam, 23 tahun, yang mempunyai darah keturunan Jawa, berkata faktor itu mengukuhkan lagi keterpanggilannya untuk menyertai residensi yang bakal menyelami seni budaya Jawa dengan mendalam.
“Sebagai seorang yang berketurunan Jawa, saya ingin kembali dekat dengan seni budaya leluhur saya. Justeru, residensi ini merupakan ruang yang baik untuk saya meneroka peluang mempelajari perkara yang berkait dengan warisan budaya saya,” kata lulusan baru daripada Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) dalam bidang Seni Halus itu.
Selama 26 hari dari 5 hingga 30 Oktober, kesemua peserta akan menerima bimbingan daripada pakar seni daripada Jabatan Sejarah, Universitas Negeri Malang.
Berbeza dengan edisi pertama pada 2025 yang tertumpu kepada bidang Tari Topeng, edisi kedua pada 2026 itu pula akan memberi tumpuan kepada seni pembikinan topeng Malangan itu sendiri sebagai satu warisan budaya.
Justeru, residensi yang akan berlangsung itu merupakan cerminan bagi satu kesinambungan penghargaan terhadap seni warisan yang terkait dengan budaya Jawa.
Sewaktu dihubungi Berita Harian (BH), Pengerusi MHF, Dr Roszalina Rawi, berkongsi bahawa ketiga-tiga peserta itu mempunyai rasa ingin tahu dan minat yang menyeluruh berkenaan seni Tari Topeng, termasuklah proses pembikinan topeng itu sebagai sebahagian tradisi persembahan.
“Bagi saya, yang lebih penting ialah peserta dapat melihat peranan seorang pembuat topeng sebenarnya melangkaui penghasilan sebuah artifak seni.
“Tanpa pembuat topeng, tidak ada topeng, dan tanpa topeng, seni Tari Topeng itu sendiri tidak dapat diteruskan.
“Jadi residensi ini tentang memahami bagaimana sesuatu warisan itu hidup, kerana ada manusia yang ambil peduli, yang terus mengamalkan, mengembangkan dan mewariskannya.
“Sekembalinya mereka (ke Singapura), karya yang dihasilkan akan diketengahkan kepada masyarakat melalui Hari Warisan atau platform MHF dan Taman Warisan Melayu (TWM) yang sesuai.
“Kami juga merancang melibatkan mereka dalam bengkel Topeng di sekolah, yang akan kami rintis dengan beberapa sekolah terpilih pada 2027,” kata Dr Roszalina.
Memandang ke hadapan, ketiga-tiga peserta itu turut berharap mereka dapat terus menyebarkan ilmu yang bakal mereka peroleh melalui residensi itu.
Di samping itu, mereka juga bercita-cita untuk mengangkat wacana seni warisan dan budaya yang bakal mereka raih di Malang, untuk disebarkan kepada masyarakat di Singapura.