Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga firma jana tenaga kaji teknologi kurangi pelepasan karbon

Jul 14, 2025 | 7:32 PM
karbon, singapura, teknologi tangkapan dan penyimpanan karbon
Menjelang 2035, gas asli dijangka terus menyumbang lebih 50 peratus daripada keperluan tenaga Singapura, berbanding lebih 90 peratus pada masa ini. - Foto fail

Tiga syarikat penjanaan tenaga akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan teknologi tangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) bagi menyokong peralihan Singapura ke arah masa depan rendah karbon.

Tiga syarikat tersebut ialah Keppel, PacificLight Power dan YTL PowerSeraya, kata Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) pada 14 Julai. 

Lima cadangan yang dikemukakan tiga syarikat itu telah dipilih untuk menerima pembiayaan bersama bagi kajian tersebut.

Tiga syarikat tersebut akan mengkaji dua kaedah bagi menangkap karbon dalam sektor tenaga untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Kaedah pertama melibatkan pemasangan unit khas di tapak loji untuk menangkap karbon dioksida (CO2) daripada gas ekzos selepas gas asli dibakar. 

Gas buangan itu lazimnya mengandungi CO2, wap air, nitrogen dan oksigen.

Kaedah kedua pula melibatkan penangkapan CO2 yang terhasil daripada proses menukar gas asli kepada hidrogen.

Hidrogen tersebut boleh digunakan sebagai bahan api untuk menjana elektrik dan tidak menghasilkan sebarang CO2 semasa pembakaran.

EMA telah mengeluarkan tawaran geran pada Oktober 2024 bagi mengkaji dua kaedah pelaksanaan teknologi CCS dalam sektor tenaga.

Kajian tersebut bertujuan mengurangkan pelepasan karbon dan menyimpan gas tersebut di lapisan bawah tanah yang dalam, sebagai sebahagian usaha peralihan tenaga Singapura ke arah masa depan rendah karbon.

Singapura kini sedang mengkaji cara menangkap dan menyimpan gas CO2 yang menyumbang kepada pemanasan sejagat dari loji jana kuasa gas asli, memandangkan negara ini dijangka akan terus bergantung pada bahan api fosil dalam beberapa dekad akan datang.

Menjelang 2035, gas asli dijangka terus menyumbang lebih 50 peratus daripada keperluan tenaga Singapura, berbanding lebih 90 peratus pada masa ini, lapor The Straits Times (ST).

Sektor tenaga menyumbang sekitar 40 peratus daripada jumlah pelepasan gas rumah hijau negara.

Selain itu, kajian turut dijalankan bagi menentukan kaedah paling berkesan dari segi kos bagi menangkap CO2, kerana gas itu biasanya dilepaskan dalam kepekatan yang cair, maka menyukarkan proses penangkapan.

Teknologi tangkapan karbon dijangka menjadi salah satu langkah utama Singapura dalam mengurangkan pelepasan bagi mencapai sasaran iklim 2030.

Singapura telah menyerahkan laporan dwitahunan yang mengandungi lebih 10 langkah pengurangan pelepasan karbon kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada November 2024. 

Daripada langkah tersebut, teknologi penangkapan karbon merupakan salah satu daripada tiga langkah yang menonjol dengan potensi pengurangan pelepasan gas rumah hijau tertinggi menjelang 2030.

Langkah lain termasuk teknologi penggunaan semula dan penyimpanan karbon yang menyedut CO2 daripada sumber pencemaran dan menyimpannya.

Secara keseluruhan, tiga langkah itu berpotensi mengurangkan sehingga kira-kira 2,500 kilotan setara CO2, bersamaan dengan sekitar 20 peratus daripada jumlah pengurangan pelepasan yang disasarkan menjelang 2030.

Dapatan daripada kajian yang dijalankan tiga syarikat itu akan membolehkan EMA dan syarikat penjanaan tenaga memperdalam pengetahuan dan pemahaman mereka mengenai laluan CCS dalam sektor tenaga, serta mengenal pasti keperluan prasarana dan lokasi khusus, jelas EMA.

Ia juga akan menjadi asas berguna bagi kajian kejuruteraan yang lebih terperinci pada masa depan untuk menilai dengan lebih lanjut kebolehlaksanaan CCS dalam usaha mengurangkan karbon dalam sektor tenaga, tambah EMA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg