Tiga individu yang disyaki anggota sindiket jenayah terancang yang beroperasi di Singapura telah didakwa di mahkamah pada 13 Mei atas pelbagai kesalahan berkaitan penipuan dan penyalahgunaan sistem komputer.
Low Zhi Wei, 35 tahun, menghadapi lima pertuduhan; Dillon Jang Wei Hong, 27 tahun, sembilan pertuduhan; manakala Shuek Jin Hui, 36 tahun, didakwa dengan 11 pertuduhan, jumlah tertinggi antara mereka.
Ketiga-tiga lelaki warga Singapura itu didakwa mengawal 40 akaun bank dari Ogos 2023 hingga Ogos 2024.
Menurut dokumen mahkamah, Jang, Shuek, dan seorang individu lain yang masih belum dikenal pasti, didakwa bersekongkol untuk mendapatkan keuntungan lebih daripada $284,000 daripada aktiviti haram pada September 2023.
Dalam tempoh Ogos 2023 hingga Ogos 2024, Shuek, Jang dan Low juga didakwa bekerjasama menyalahgunakan sistem komputer dan mengekalkan kawalan ke atas tujuh akaun sebuah bank.
Mereka juga menghadapi tuduhan serupa melibatkan 26 akaun daripada bank kedua antara April hingga Ogos 2024, dan dua akaun daripada bank ketiga antara Jun hingga Ogos 2024.
Selain itu, mereka juga didakwa memiliki kod akses bagi 35 akaun tersebut.
Perincian mengenai pemilik akaun-akaun tersebut dan cara ketiga-tiga individu itu memperoleh kod akses berkenaan tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah.
Dalam kes yang berasingan, Shuek dan Jang juga didakwa bersekongkol untuk mengekalkan kawalan terhadap lima lagi akaun bank daripada tiga bank yang berbeza antara Februari hingga Ogos 2024.
Pada atau sebelum Ogos 2024, ketiga-tiga lelaki itu didakwa terlibat dalam komplot untuk menipu sebuah bank dengan memperdayakan pihak bank supaya percaya bahawa seorang wanita akan menggunakan salah satu akaunnya.
Pada penghujung Ogos 2024, Shuek ditahan reman di Divisyen Polis Central kerana didakwa tidak mematuhi arahan seorang pegawai polis dengan enggan memberikan nama pengguna dan kata laluan yang diperlukan untuk mengakses beberapa komputer.
Sesi praperbicaraan bagi ketiga-tiga tertuduh dijadualkan pada 19 Mei.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg