TikTok telah mengurangkan jawatan dalam pasukan kawalan kandungan secara global, dengan Singapura turut terjejas oleh pembuangan pekerjaan itu. 

Ia adalah sebahagian daripada pusingan terkini pemberhentian pekerja TikTok di peringkat sejagat.

Ini juga tahun kedua berturut-turut syarikat media sosial itu mengurangkan tenaga kerja yang menguruskan kawalan kandungan dan keselamatan platform. 

Di Asia, operasinya di Singapura dan Indonesia menyaksikan pemberhentian pekerjaan pada 1 Julai.

Keputusan untuk mengurangkan jawatan di Singapura adalah sebahagian daripada penyusunan semula untuk mengukuhkan model operasi TikTok bagi kepercayaan dan keselamatan. 

Syarikat itu tidak mendedahkan berapa banyak jawatan yang terjejas ekoran pemotongan tersebut.

“Kami sedang meneruskan penyusunan semula untuk mengukuhkan model operasi sejagat kami bagi kepercayaan dan keselamatan, termasuk memusatkan sebahagian tenaga kerja kami dalam hab operasi utama.

“Kami juga sedang mengubah cara kami bekerja bagi memastikan pasukan kami memberikan yang terbaik, sambil memajukan keselamatan platform menerusi inovasi teknologi terkini,” kata jurucakap TikTok.

Di Indonesia pula, pemberhentian pekerja itu berkaitan penyusunan semula organisasi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi mendorong pertumbuhan mampan jangka panjang.

Menurut laporan CNBC Indonesia pada 2 Julai, lebih 450 pekerja dalam unit teknologi TikTok Shop-Tokopedia telah diberhentikan kerja.

Di luar Asia, TikTok dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk memotong 300 jawatan di hab Eropahnya di Dublin, Ireland, lapor Bloomberg.

The Business Times (BT) difahamkan bahawa TikTok akan menyediakan sokongan kepada pekerja yang terjejas menurut undang-undang dan peraturan tempatan.

Ini menyusuli syarikat teknologi lain yang turut memberhentikan pekerja dalam beberapa bulan kebelakangan ini, seperti Meta yang memotong 8,000 jawatan di peringkat sejagat termasuk di Singapura. 

Syarikat teknologi tradisional turut tidak terlepas daripada pemberhentian pekerja, dengan Oracle turut memotong sekitar 21,000 jawatan pada 2026.

Platform e-dagang Lazada dan Amazon turut mengurangkan bilangan pekerja di Singapura, dengan Amazon menutup salah satu unit perniagaan e-dagangnya di sini. 

Bahagian e-dagang Sea, iaitu Shopee, turut memotong jawatan, mengurangkan 8 peratus daripada tenaga kerja pembangunnya secara global.