Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

$408,000 hilang akibat penipu menyamar sebagai pegawai CAD

Aug 28, 2025 | 8:14 PM
Polis memaklumkan pada 28 Ogos bahawa sekurang-kurangnya 20 kes penipuan yang melibatkan penyamaran sebagai pegawai pemerintah dari unit di bawah Jabatan Ehwal Komersial (CAD) telah dilaporkan.
Polis memaklumkan pada 28 Ogos bahawa sekurang-kurangnya 20 kes penipuan yang melibatkan penyamaran sebagai pegawai pemerintah dari unit di bawah Jabatan Ehwal Komersial (CAD) telah dilaporkan. - Foto ST

Sekitar $408,000 hilang akibat penipuan yang melibatkan penyamaran sebagai pegawai pemerintah dari unit di bawah Jabatan Ehwal Komersial (CAD) sejak April 2025.

Polis memaklumkan pada 28 Ogos bahawa terdapat sekurang-kurangnya 20 kes sedemikian, di mana penipu menyamar sebagai pegawai dari Pejabat Laporan Urus Niaga Mencurigakan (STRO), iaitu unit risikan kewangan Singapura.

Penipuan itu biasanya bermula dengan penipu membuat panggilan video kepada mangsa, lapor The Straits Times (ST).

Untuk dilihat menyakinkan dalam penyamaran mereka, penipu akan menunjukkan dokumen pengenalan seperti kad waran, memakai seragam polis, atau memaparkan lambang polis di belakang mereka.

Penipu juga mungkin memperkenalkan diri menggunakan nama pegawai polis sebenar, di mana maklumatnya boleh diakses umum.

Mereka akan memberitahu mangsa sedang disiasat kerana terlibat dalam aktiviti jenayah seperti pengubahan wang haram.

Bagi mangsa yang pernah ditipu sebelum ini, penyamar akan merujuk kepada urus niaga terdahulu dan mendakwa mereka telah menyelia siasatan tersebut.

Dalam beberapa kes, penipu akan menyamar sebagai pekerja bank dan mendakwa mangsa telah melakukan urus niaga kewangan yang mencurigakan.

Mangsa kemudian akan dipindahkan kepada penyamar STRO “untuk disiasat”.

STRO menerima laporan mengenai transaksi mencurigakan, pergerakan wang tunai dan transaksi wang tunai.

Unit itu menganalisis laporan tersebut untuk mengesan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan jenayah lain.

Bagi kelihatan lebih meyakinkan, penipu akan menyediakan dokumen “rasmi palsu” seperti “laporan STRO” dan “waran Anti-Pengubahan Wang Haram” melalui WhatsApp.

Dengan alasan ingin menyiasat, penipu akan mengarahkan mangsa memindahkan wang ke akaun bank yang dikatakan milik pemerintah, menyerahkan wang tunai kepada penipu, atau membuat pemindahan mata wang kripto.

Mangsa hanya menyedari mereka ditipu apabila penipu meminta wang tambahan atau apabila mereka mendapatkan pengesahan daripada Pasukan Polis Singapura.

Secara keseluruhan, mangsa di Singapura telah kehilangan lebih $3.4 bilion akibat penipuan sejak 2019.

Penipuan paling banyak dilaporkan pada 2024 ialah penipuan e-dagang, dengan 11,665 kes direkodkan.

Polis menasihatkan orang ramai agar tidak memindahkan wang atau barangan berharga kepada mana-mana individu yang tidak dikenali.

Orang ramai juga tidak digalakkan meletakkan wang atau barangan berharga di lokasi fizikal untuk diambil.

STRO tidak akan meminta orang ramai memindahkan wang, mendedahkan maklumat log masuk bank, memasang aplikasi mudah alih dari stor aplikasi tidak rasmi, atau memindahkan panggilan kepada polis.

Untuk maklumat lanjut mengenai penipuan, orang ramai boleh melayari www.scamshield.gov.sg

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg