Majlis Seni Kebangsaan (NAC) akan menerima Ketua Pegawai Eksekutif baru, Cik Elaine Ng, pada 1 Mac 2026.
Beliau akan menggantikan Encik Low Eng Teong, yang berkhidmat sebagai ketua pertubuhan itu sejak 2023 dan akan berundur pada 28 Februari 2026, kata Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pada 23 Disember.
Cik Ng akan mula dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (Bakal) mulai 1 Januari 2026.
Beliau kini merupakan Timbalan Setiausaha (Pentadbiran) di Kementerian Pertahanan (Mindef), pelantikan yang dipegangnya sejak November 2019.
Dalam peranannya sekarang, Cik Ng mengetuai Kumpulan Pengurusan Pertahanan Mindef, yang merancang dan melaksanakan dasar yang menyokong objektif keselamatan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif yang akan datang mempunyai rekod prestasi dalam mengubah organisasi, kata MCCY, sambil menunjukkan bahawa Cik Ng menyelia projek infrastruktur utama dalam peranan Mindef beliau, seperti Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB) yang baru siap.
Beliau juga mempengerusikan Defence Collective Singapore, yang mengendalikan muzium tentera Singapura, termasuk Galeri NS yang akan datang, lapor The Straits Times.
Sebelum Mindef, Cik Ng adalah Timbalan Ketua Eksekutif Lembaga Warisan Negara (NHB) dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).
Dalam peranannya di NLB, Cik Ng memperkenalkan inisiatif yang meningkatkan akses kepada e-buku, penerbitan warisan dan arkib di Singapura sambil merombak perpustakaan awam dan mengembangkan sukarelawan NLB, kata MCCY.
Sementara itu, CEO yang akan keluar, Encik Low pula telah memperjuangkan pembangunan pelan hala tuju dasar seni dan budaya Singapura, memacu usaha untuk mengukuhkan penggunaan digital dalam sektor seni, membina laluan latihan profesional yang lebih jelas, dan memperdalam penglibatan penonton.
Antara pencapaian yang lain beliau juga menambah baik akses kepada seni merentas komuniti, dan memperkukuh pendidikan seni, sepanjang tempoh perkhidmatannya, kata MCCY.
Dalam kenyataan MCCY, Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo mengucapkan terima kasih kepada CEO yang akan keluar dan mengalu-alukan ketua yang akan datang.
Encik Neo berkata: “Di bawah kepimpinan teguh Eng Teong, NAC telah meluaskan akses kepada seni, mengukuhkan sokongan untuk sektor itu, dan memperdalam peranan yang dimainkan oleh budaya dalam membentuk siapa kita sebagai rakyat Singapura.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg