Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zaqy lawat Jordan, perkukuh hubungan pertahanan S’pura-Jordan

Lawatan susulan permulaan operasi gugurkan pakej bantuan kemanusiaan ke Gaza oleh SAF
Aug 18, 2025 | 2:23 PM
Singapura, Jordan, hubungan pertahanan, Zaqy Mohamad, Mejar-Jeneral (MG) Yousef Huneiti, lawatan kerja, Mindef
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad (kiri), bertemu dengan Pengerusi Ketua Turus Bersama bagi Angkatan Bersenjata Jordan, Mejar-Jeneral (MG) Yousef Huneiti di Amman, Jordan pada 17 Ogos semasa rangka lawatan kerja beliau ke negara tersebut dari 17 hingga 18 Ogos. Lawatan tersebut susulan permulaan operasi oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menggugurkan pakej bantuan kemanusiaan ke Gaza. - Foto KEMENTERIAN HAL EHWAL LUAR NEGERI DAN EKSPATRIAT JORDAN

Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, telah menegaskan semula hubungan pertahanan “yang mesra dan erat” antara Singapura dengan Jordan semasa rangka lawatan kerja ke Amman, Jordan dari 17 hingga 18 Ogos.

Semasa lawatan itu, beliau bertemu dengan Pengerusi Ketua Turus Bersama bagi Angkatan Bersenjata Jordan, Mejar-Jeneral (MG) Yousef Huneiti, pada 17 Ogos.

Menurut Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan, kedua-dua pemimpin itu membincangkan cara meningkatkan usaha kerjasama lanjut antara kedua-dua angkatan tentera bagi meringankan krisis kemanusiaan di Gaza.

Lawatan itu susulan permulaan operasi oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menggugurkan pakej bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Dalam satu hantaran Facebook pada 16 Ogos, Mindef berkata Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan Tentera Singapura menjalankan operasi itu pada 15 Ogos, dengan penyelarasan rapat Angkatan Udara Diraja Jordan serta tentera udara negara lain.

Pakej tersebut berisi bekalan perubatan daripada Kementerian Kesihatan (MOH) di samping bekalan makanan daripada badan amal seperti Humanity Matters, Caritas Humanitarian Aid and Relief Initiative Singapore (Charis), Mercy Relief dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

Pakej bantuan kemanusiaan itu digugurkan dari udara menggunakan pesawat pemunggah C-130 RSAF yang berlepas ke Jordan dari Singapura pada 12 Ogos.

Ia telah dikerahkan oleh pemerintah dan berangkat dari Pangkalan Udara Paya Lebar sekitar 7 pagi menuju ke negara tersebut.

Menurut Mindef, Singapura menghantar pakej bantuan itu atas undangan kerajaan Jordan.

Seramai 58 anggota pertahanan dan tentera Singapura telah dikerah bagi menyokong operasi yang diselaraskan oleh Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Serantau Changi (RHCC).

Operasi itu merupakan kali kedua Singapura menggugurkan bantuan kemanusiaan dari udara bagi membantu warga Gaza yang dibelenggu konflik kemanusiaan akibat perang berlarutan dengan Israel.

Operasi pertama dilaksanakan pada 20 Mac 2024.

Secara keseluruhan, ia adalah pakej bantuan kemanusiaan kesembilan yang dihantar Singapura untuk penduduk Palestin sejak konflik bermula.

Buat masa ini, jumlah sumbangan yang disampaikan Singapura dan warga Singapura bernilai lebih $22 juta.

Dalam satu hantaran Facebook pada 18 Ogos, Encik Zaqy merakamkan penghargaan kepada MG Yousef Huneiti atas undangan Kerajaan Jordan kepada RSAF untuk menyertai operasi gugur pakej bantuan tersebut.

“Usaha bersama kita mencerminkan komitmen bersama untuk meringankan kesusahan dan penderitaan penduduk Gaza.

“Melalui kerjasama dengan Jordan dan rakan-rakan antarabangsa dalam gabungan ini, kita memastikan bantuan penting sampai kepada mereka yang paling memerlukan, sambil memperkukuh ikatan persahabatan dan kerjasama antara negara kita,” ujar beliau.

Menurut laporan sebelum ini, Singapura pada dasarnya bersedia mengiktiraf negara Palestin dengan pertimbangan utama bahawa langkah tersebut harus menyumbang kepada kemajuan ke arah keamanan serta penyelesaian dua negara yang dirundingkan.

“Melalui kerjasama dengan Jordan dan rakan-rakan antarabangsa dalam gabungan ini, kita memastikan bantuan penting sampai kepada mereka yang paling memerlukan, sambil memperkukuh ikatan persahabatan dan kerjasama antara negara kita.”
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg