Topik diikuti
Pergi ke BHkuTingkat akses kepada bantuan, perluas peluang untuk pelajar
Perbincangan M³+ sorot cabaran dapatkan sokongan dalam bidang keluarga, daya tahan, belia, kerjaya dan kesihatan
Tingkat akses kepada bantuan, perluas peluang untuk pelajar
Memudahkan akses kepada bantuan dan peluang, memperkukuh kerjasama antara pertubuhan, serta memastikan sokongan lebih bersesuaian dengan keperluan masyarakat.
Demikian antara perkara yang diketengahkan semasa perbincangan berkumpulan dalam Sesi Rangkaian M Kuasa Tiga Plus (M³+) ketiga di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat di Paya Lebar pada 22 November.
Sesi rangkaian itu menghimpunkan sekitar 260 wakil pertubuhan dan rakan kerjasama dalam masyarakat Melayu/Islam bagi mengenal pasti cabaran dan meneroka penyelesaian di bawah lima bidang tumpuan M³+ yang diperbaharui.
Acara itu turut menyaksikan logo baharu M³+ dilancar sempena pembaharuan bidang tumpuan tersebut.
Perbincangan berkumpulan tersebut yang merangkumi lima bidang tumpuan – keluarga, daya tahan, belia, kerjaya, dan kesihatan – menekankan keperluan untuk memastikan program serta sumber sedia ada dapat menjangkau dan memberi manfaat dengan lebih berkesan kepada golongan yang memerlukannya.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk kesukaran sesetengah anggota masyarakat mendapatkan sokongan keluarga pada peringkat kehidupan yang berbeza, kekurangan pendedahan belia kepada peluang dan rangkaian profesional, serta halangan yang dihadapi pekerja dalam mendapatkan bimbingan kerjaya dan meningkatkan kemahiran.
Dalam bidang kesihatan pula, peserta mengetengahkan kos makanan lebih sihat dan pilihan yang terhad di pusat penjaja sebagai antara faktor yang boleh menyukarkan masyarakat mengamalkan pemakanan seimbang.
Bagi sokongan kepada golongan rentan, perbincangan turut menyentuh kepentingan memperkukuh rangkaian sosial, meningkatkan penerimaan masyarakat dan menyediakan peluang kedua kepada bekas pesalah serta individu yang pernah menyalahgunakan dadah.
Salah seorang peserta, Penolong Pengurus Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Amir Hamzah Kamsani, 34 tahun, berkata pertubuhan Melayu/Islam juga perlu mengelak pertindihan inisiatif agar sumber dan kepakaran dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan.
“Kita tidak mahu berlaku pertindihan (inisiatif) kerana terdapat banyak pertubuhan Melayu/Islam pada masa ini.
“Jika terdapat idea yang serupa, pertubuhan itu boleh bekerjasama untuk menghasilkan versi yang lebih baik daripada inisiatif asal,” ujarnya, yang menyertai perbincangan mengenai pemerkasaan belia.
Menurut Encik Amir, cabaran dihadapi belia hari ini berbeza daripada generasi dahulu, termasuk dari segi penggunaan teknologi, peluang keusahawanan, dan akses kepada pembangunan kemahiran.
Beliau berkata pertubuhan masyarakat boleh membantu belia yang bercita-cita menjadi usahawan melalui bimbingan dan penyediaan sumber, di samping mengambil kira kekangan kewangan yang dihadapi golongan keluarga berpendapatan rendah.
Antara bentuk bantuan yang diketengahkan kumpulannya ialah geran, bengkel percuma, dan latihan dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI) serta kemahiran berkomunikasi.
Sementara itu, seorang lagi peserta, Encik Muhd Aqasha Johari, 24 tahun, yang sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa, menekankan kepentingan menyampaikan maklumat melalui saluran yang dekat dengan golongan muda, khususnya media sosial.
Beliau, yang menyertai perbincangan mengenai pengukuhan keluarga, berkata maklumat mengenai persiapan perkahwinan, keibubapaan dan perkembangan awal kanak-kanak boleh disampaikan menerusi kandungan ringkas yang mudah difahami.
Menurutnya, perkongsian maklumat melalui podcast juga merupakan antara pendekatan yang dibincangkan dalam kumpulannya.
“Pendekatan itu bersesuaian dengan tabiat golongan muda yang sering meluangkan masa menatal kandungan di media sosial, sekali gus membuka peluang untuk mereka memperoleh pengetahuan berguna secara tidak langsung.
“Saya sukat maklumat yang ringkas dan mudah dihadam kerana sebagai orang muda, saya banyak meluangkan masa di media sosial.
“Jadi, apabila saya terjumpa kandungan yang bermanfaat ketika menatal, saya juga dapat mempelajari sesuatu,” terangnya.