Tingkat kemahiran sebagai ‘peluang ketiga’ dalam usaha pembelajaran sepanjang hayat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tingkat kemahiran sebagai ‘peluang ketiga’ dalam usaha pembelajaran sepanjang hayat

Mar 1, 2026 | 5:30 AM

Tingkat kemahiran sebagai ‘peluang ketiga’ dalam usaha pembelajaran sepanjang hayat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
skillfuture, pembelajaran sepanjang hayat
Pelawat yang melawati ‘roadshow’ atau jerayawara My Career Health Matters anjuran SkillsFuture Singapura (SSG) dan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) di Bedok Town Square pada 9 November 2025. - Foto ST

Ramai yang menganggap bahawa perjalanan akademik di usia muda menentukan seluruh garis masa depan kita.

Jika kita tersungkur di garisan permulaan, kita dianggap ketinggalan selamanya.

Namun, sebagai seorang bapa berusia 37 tahun dengan dua cahaya mata yang sedang membesar, saya kini memandang hidup dengan perspektif yang berbeza.

Mengimbas kembali, saya pelajar yang agak cemerlang sewaktu di sekolah rendah dan menengah, namun, apabila melangkah ke alam politeknik, rentak saya goyah.

Prestasi saya merosot, dan ada kalanya saya terasa seolah-olah pintu peluang telah tertutup rapat.

Namun, titik pusingan hidup saya bermula apabila saya bekerja di sebuah kelab masyarakat (CC).

Di sana, sambil memikul tanggungjawab kerja, saya mengambil peluang mengikuti pengajian secara sambilan.

Ini bagi saya, merupakan peluang kedua bagi saya untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran saya setelah meraih prestasi yang kurang memuaskan semasa di zaman politeknik dahulu.

Pengajian sambilan itulah yang mengasah tunas kemahiran saya dalam bidang komunikasi massa, perhubungan awam, dan media.

Pengalaman praktikal di peringkat akar umbi bersama masyarakat, digabungkan dengan ilmu teori yang saya timba, akhirnya membuka jalan kepada pertukaran kerjaya pertengahan jalan yang saya impikan.

Beberapa minggu lalu, pada 8 Februari, genap tiga tahun saya menggalas tugas sebagai Koresponden di Berita Harian, satu amanah yang memerlukan saya sentiasa berfikiran tajam.

Namun, dunia kewartawanan hari ini tidak lagi memadai dengan hanya berbekalkan pengalaman kerja semata-mata dan mengharapkan bahawa ilmu yang saya raih semasa pengajian sambilan itu sudah mencukupi.

Dalam meneliti perjalanan kerjaya sehingga kini, saya terhenti sejenak dan terfikir: “Sudahkah saya cukup ilmu dan kemahiran? Apa lagi yang perlu saya belajar?”

Mujur, saya sedar bahawa saya tidak boleh sesekali berpeluk tubuh atau ‘rehat di atas kejayaan’ (rest on my laurels).

Ini kerana dunia kewartawanan hari ini jauh berbeza daripada sedekad lalu.

Justeru, pengumuman Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam Belanjawan 2025 dan 2026 mengenai pengukuhan inisiatif SkillsFuture hadir sebagai ‘talian hayat’ yang sangat tepat pada masanya.

Bagi saya, ini adalah ‘peluang ketiga’ untuk membaiki lompang pengetahuan.

Penggabungan SkillsFuture Singapura (SSG) dan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) menjadi satu badan tunggal yang diumumkan bakal memudahkan urusan kita mencari latihan di satu hentian sahaja.

Sebagai pengamal media, pengumuman mengenai akses percuma selama enam bulan kepada alat kecerdasan buatan (AI) premium bagi mereka yang mengikuti kursus AI terpilih amat menarik perhatian saya.

Ini membolehkan saya mempraktikkan teknologi canggih terus dalam tugasan harian saya di SPH Media.

Selain itu, skim Elaun Latihan SkillsFuture yang kini diperluaskan kepada kursus sambilan bermula Mac 2026 turut menarik perhatian saya walaupun saya belum mencecah usia 40 tahun.

Ia memberi saya jaminan bahawa sokongan kewangan tetap ada apabila saya ingin mendalami kemahiran lebih teknikal nanti tanpa perlu meninggalkan tanggungjawab kepada keluarga.

Di SPH Media sendiri, pelbagai kursus latihan dalaman juga dianjurkan agar kami kekal relevan.

Daripada penguasaan alatan AI sehinggalah kepada analisis data digital, kursus ini menyediakan kemahiran praktikal yang tidak semestinya diukur melalui gelaran akademik yang gah.

Walaupun ia tidak membawa kepada ijazah Sarjana atau Doktor Falsafah (PhD), nilainya dalam ekonomi masa hadapan tetap tidak ternilai.

Dalam dunia yang berubah sepantas kilat, kecekapan kini lebih utama berbanding hanya teori di atas kertas.

Kemahiran yang saya pelajari – seperti cara menggunakan AI untuk mempercepatkan kajian berita – adalah kemahiran yang boleh dipindahkan di dalam apa jua tugasan yang sedang saya pikul, ataupun yang bakal saya pikul pada masa hadapan.

Saya tidak lagi perlu berasa terancam dengan perubahan teknologi, sebaliknya saya belajar menunggang gelombang perubahan tersebut.

Saya harus sentiasa mencari jalan baru bagi mempertingkatkan kemahiran dan mempelajari kemahiran baru demi kelangsungan hidup dalam ekonomi masa depan yang kian mencabar.

Sebagai seorang bapa, saya sedar bahawa tanggungjawab saya bukan sekadar menyediakan nafkah, malah menunjukkan teladan kepada anak-anak saya.

Saya mahu mereka melihat bahawa bapa mereka, walaupun pernah melalui kegagalan di peringkat politeknik, tidak pernah berhenti berusaha memperbaiki diri.

Bukan sahaja puas dengan kejayaan meraih sarjana muda semasa bekerja di CC dahulu, malah masih giat mengejar peluang ketiga untuk mempelajari kemahiran baru melalui sokongan sistemik pemerintah dan komitmen syarikat.

Ia bukan lagi soal berapa tinggi ijazah yang kita miliki, tetapi sejauh mana kita bersedia menjadi pelajar sepanjang hayat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg