Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenumpang bakal nikmati pertukaran MRT lebih pantas dengan stesen Sungei Bedok
Dapat tukar antara TEL dengan DTL lebih cepat kerana platform kededua laluan dibina secara bertingkat, dilengkapi 298 ruang letak basikal
Penumpang bakal nikmati pertukaran MRT lebih pantas dengan stesen Sungei Bedok
Penumpang Laluan Downtown (DTL) bakal menikmati pertukaran kereta api yang lebih pantas dan mudah ke Laluan Thomson-East Coast (TEL) apabila stesen Bedok South, Sungei Bedok dan Xilin mula beroperasi pada 26 Disember.
Stesen Bedok South dan Sungei Bedok di TEL serta stesen Xilin di DTL dijangka memperkukuh rangkaian kereta api dan memudahkan perjalanan penumpang antara kawasan timur, pusat bandar dengan bahagian utara Singapura.
Penumpang juga dapat bertukar antara TEL dengan DTL dengan lebih cepat di stesen Sungei Bedok, memandangkan platform kededua laluan itu dibina secara bertingkat, dengan platform TEL terletak di aras atas dan DTL di aras bawah.
Ini bermakna penumpang tidak lagi perlu berjalan jauh untuk bertukar antara kededua laluan tersebut.
Ini merupakan kali pertama dalam rangkaian kereta api Singapura platform bagi dua laluan berbeza direka dengan susunan sedemikian.
Walaupun stesen City Hall mempunyai susun atur yang hampir serupa, penumpang masih perlu berjalan jauh untuk bertukar daripada kereta api Laluan Utara-Selatan (NSL) yang menuju ke Jurong East kepada kereta api Laluan Timur-Barat (EWL) yang menuju ke Pasir Ris.
Pada 11 November, pihak media berpeluang meninjau ketiga-tiga stesen baru itu dengan lebih dekat menerusi lawatan yang dianjurkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Sebagai salah sebuah stesen dalam jajaran kelima dan terakhir TEL, stesen Bedok South bakal memberi kemudahan kepada penduduk di kawasan Upper East Coast.
Ini termasuk penduduk Kew Gardens, pelajar Sekolah Rendah Temasek dan Sekolah Menengah Temasek, serta orang ramai yang ingin ke Kelab Masyarakat Siglap.
Kelima-lima pintu masuk stesen itu mempunyai kod warna tersendiri bagi memudahkan penumpang mengenal pasti lokasi mereka dan arah yang ingin dituju.
Stesen tersebut turut menyediakan sebanyak 210 ruang meletak basikal berbumbung di aras jalan raya, yang terletak di kelima-lima pintu masuknya.
Stesen itu juga akan dihubungkan dengan sebuah hab pengangkutan bersepadu baru di kawasan tersebut, yang bakal merangkumi pembangunan pelbagai guna dengan kedai, restoran dan kemudahan lain.
Dalam pada itu, stesen Sungei Bedok akan berfungsi sebagai stesen pertukaran antara TEL dengan DTL.
Stesen itu mempunyai tiga pintu masuk, masing-masing berhampiran Kem Bedok, Pusat Makanan Bedok dan di luar kawasan perumahan Eastwood.
Sungei Bedok merupakan stesen keempat di TEL yang dilengkapi kemudahan meletak basikal bawah tanah, selepas stesen Marine Parade, Marine Terrace dan Bayshore.
Sebanyak 298 ruang meletak basikal disediakan di bawah tanah, selain lima ruang meletak alat mobiliti peribadi di aras jalan raya.
Penunggang basikal boleh mengakses kemudahan bawah tanah itu menggunakan lif yang mampu memuatkan sehingga tiga basikal pada satu-satu masa.
Mereka juga boleh menggunakan tangga yang dilengkapi tanjakan basikal berhampiran pintu keluar tiga, di luar kawasan perumahan Eastwood.
Selain mesin tambah nilai biasa, stesen pertukaran itu turut dilengkapi kios perkhidmatan berbantu yang mempunyai fungsi panggilan video.
Kemudahan tersebut membolehkan penumpang, termasuk mereka yang mempunyai keperluan kemudahan akses, berhubung secara langsung dengan kakitangan perkhidmatan demi mendapatkan bantuan.
Lebih banyak kios sedemikian sedang dipasang di stesen TEL yang lain.
Sementara itu, stesen Xilin yang baru akan memudahkan pekerja dan pengunjung ke kawasan tumpuan pekerjaan utama di Taman Perniagaan Changi dan Expo.
Mereka yang ingin ke Kelab Golf Laguna National, Dusit Thani Laguna Singapore, Depoh Bersepadu East Coast serta pembangunan lain di Changi South juga boleh meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing selepas turun di stesen Xilin.
Timbalan Pengarah Seni Bina LTA, Encik Michael Ong, berkata pembukaan stesen-stesen baru itu akan memudahkan penduduk menjalani kehidupan seharian, bekerja dan bergerak di kawasan timur Singapura.
“Pembukaan stesen-stesen baru ini akan memudahkan orang ramai untuk tinggal, bekerja dan melakukan perjalanan di kawasan timur.
“Dalam mereka bentuk stesen-stesen ini, kami memberi perhatian khusus kepada pengalaman penumpang dengan menyediakan ciri-ciri yang memudahkan akses, meningkatkan keselesaan serta memperbaiki ketersambungan perjalanan dari titik permulaan dan ke destinasi akhir,” katanya.