Mantan kakitangan awam, Encik Pang Kin Keong akan mengambil alih daripada Encik Alan Chan Heng Loon sebagai pengerusi Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mulai 1 September.

Encik Pang, bersama-sama 15 ahli lembaga yang lain, akan berkhidmat selama tempoh tiga tahun yang akan berakhir pada 31 Ogos 2029.

Pelantikan itu dibuat oleh Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow.

Dalam satu kenyataan akhbar pada 31 Ogos, Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata ahli lembaga tersebut “dilantik berdasarkan pengalaman dan kepakaran mereka merentasi bidang yang berkaitan dengan tanggungjawab LTA, termasuk kejuruteraan, perancangan bandar, kewangan, undang-undang serta hubungan industri”.

Sebagai bakal pengerusi, Encik Pang, 60 tahun, membawa bersamanya pengalaman 35 tahun dalam perkhidmatan awam, termasuk pernah berkhidmat sebagai setiausaha tetap MOT dari Julai 2012 hingga Ogos 2017.

Beliau kemudiannya memegang jawatan setiausaha tetap Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dari September 2017 sehingga bersara daripada perkhidmatan pentadbiran pada 1 Jun.

Encik Pang turut menjadi ahli lembaga LTA sejak 1 April.

Pengerusi yang akan meletak jawatan, Encik Chan, 73 tahun, telah menerajui LTA sejak April 2016.

Di bawah kepimpinannya, rangkaian rel Singapura berkembang dengan ketara dengan siapnya Laluan Downtown (DTL) dan Laluan Circle (CCL), selain pembukaan Laluan Thomson-East Coast (TEL), kata MOT.

Projek-projek besar seperti Laluan Daerah Jurong (JRL) dan Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura turut terus berkembang, tambah kementerian itu.

Sepanjang tempoh perkhidmatan Encik Chan, Pusat Ujian Rel Singapura (SRTC) ditubuhkan pada 2025 bagi membolehkan kereta api dan sistem rel diuji secara setempat, sekali gus mengukuhkan keupayaan kejuruteraan rel negara, kata MOT.

Dalam tempoh yang sama, LTA turut memajukan usaha pengelektrikan bas awam, memperluas infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik, membangunkan inisiatif kenderaan autonomi, serta memperluas laluan basikal dan inisiatif ‘Friendly Streets’ atau jalan mesra pejalan kaki di Singapura.

Sambil melahirkan penghargaan atas khidmat bakti Encik Chan, kementerian itu turut memuji beliau kerana berjaya menerajui LTA melalui beberapa tempoh paling mencabar bagi sektor pengangkutan darat, termasuk pandemik Covid-19 dan gangguan rantaian bekalan global.

“Bersama-sama dengan penambahbaikan kebolehpercayaan rel, perkhidmatan bas dan ketersambungan, usaha-usaha ini telah mengukuhkan sistem pengangkutan Singapura serta mempertingkatkan pengalaman harian warga Singapura dalam menggunakan pengangkutan awam,” kata MOT.

Antara 15 ahli lembaga yang lain, empat merupakan pelantikan baharu, manakala lima ahli sedia ada akan meletak jawatan.