Belia di Singapura semakin berasa terasing, menurut satu tinjauan yang dikongsi oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) serta Majlis Belia Kebangsaan (NYC) menerusi satu kenyataan bersama pada 25 Julai.

Tinjauan Belia Kebangsaan (NYS) yang dijalankan dari suku keempat 2025 hingga suku pertama 2026 itu melibatkan 3,500 belia.

Tinjauan yang dijalankan setiap tiga tahun itu mendapati bahawa 8 peratus belia sekarang mengakui mereka tidak mempunyai kawan yang akrab – peningkatan seganda daripada kadar 4 peratus yang dicatatkan pada NYS 2013.

Dapatan terkini itu juga mendapati bahawa satu daripada tiga belia tidak menyertai mana-mana kumpulan sosial.

Ini sekali gus mencerminkan pengecilan lingkaran sosial dalam persekitaran digital hari ini.

Meskipun menghadapi cabaran itu, belia Singapura kekal optimis dan berhasrat untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

Namun, ramai yang masih berasa bimbang dan tidak pasti dalam menghadapi persekitaran yang kian berubah pantas.

MCCY dan NYC juga berkongsi bahawa secara keseluruhan, 76 peratus belia yakin dengan masa depan Singapura.

Namun, hanya 66 peratus yang berasa yakin tentang masa depan mereka sendiri.

Sesuai dengan itu, Pelan Belia SG dilancar pada 25 Julai, untuk menangani cabaran yang dilalui belia.

Pelan tersebut akan melaksanakan lebih 20 inisiatif dalam tempoh lima tahun akan datang – 2026 hingga 2030 – untuk membantu belia mengharungi masa depan yang semakin mencabar.

Sesi libat urus telah diadakan oleh MCCY dan NYC yang melibatkan 60,000 belia dari November 2024 hingga Mac 2026 untuk menghasilkan pelan tersebut.

Sebanyak 415,000 maklum balas berjaya dikumpulkan, merangkumi pelbagai topik daripada pendidikan, kerjaya, kesejahteraan, perhubungan sehinggalah tindakan sivik.

Dapatan sentimen daripada sesi tersebut menunjukkan bahawa kebanyakan belia inginkan hubungan yang lebih erat dan ikatan yang lebih kukuh bersama rakan sebaya serta keluarga.

Lantas, antara tumpuan utama pelan itu adalah untuk memupuk interaksi sesama insan, sekali gus membantu belia mencapai hasrat tersebut.

Menurut MCCY dan NYC, hubungan kekeluargaan dan persahabatan yang kukuh merupakan tunjang kekuatan bagi belia dalam menghadapi ketidaktentuan dunia.

“Namun, hubungan ini berisiko terjejas dalam persekitaran dunia digital masa kini,” tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu, kenyataan itu juga mendedahkan bahawa golongan belia tetap mementingkan hubungan kekeluargaan, dengan 93 peratus daripada mereka menganggap hubungan keluarga yang rapat sebagai matlamat hidup yang penting.

Namun, hubungan sosial bukanlah satu-satunya isu yang membimbangkan golongan belia.

Mereka turut bergelut dengan aspek kerjaya dan kesejahteraan di mana 91 peratus daripada mereka bercita-cita mempunyai kerjaya bermakna.

Namun, 52 peratus bimbang akan kekurangan kemahiran untuk menghadapi ekonomi yang kian pesat berkembang.

Kenyataan itu menambah, sekitar 40 peratus belia pula menganggap kecerdasan buatan (AI) sebagai ancaman kepada peluang kerjaya dan bukannya sebagai pemangkin.

Tekanan itu sekali gus menyumbang kepada peningkatan isu kesihatan mental, yang dilaporkan oleh 30 peratus golongan belia.

Menerusi sesi penglibatan dan tinjauan Pelan Belia SG pada 2025 hingga 2026, kadar masalah kesihatan mental didapati paling tinggi dalam kalangan belia berusia 18 hingga 29 tahun berbanding rakyat Singapura yang lebih berusia.

Dalam tinjauan itu, satu daripada tiga belia juga melaporkan mengalami kemurungan, keresahan dan/atau tekanan emosi.

Manakala, dua daripada lima pernah mengalami bahaya dalam talian atau mengenali seseorang yang pernah mengalaminya.

Bagi membantu belia mengurus tekanan, pelbagai bentuk sokongan diperlukan.

Selain itu, antara faktor tekanan utama dalam kalangan pelajar ialah pelajaran dan keletihan yang melampau atau burnout.

Manakala bagi golongan belia bekerja, tekanan utama berpunca daripada kelesuan, ketidakseimbangan antara kerja dengan kehidupan, serta masalah kewangan.

Walaupun satu daripada dua belia bersedia memberikan sokongan emosi kepada rakan sebaya pada waktu sukar, hanya satu daripada tiga belia yang peka mengenai sokongan atau sumber bantuan yang sedia ada.

Dalam pada itu, belia Singapura tetap bersemangat untuk menyumbang kepada masyarakat.

Sebanyak 82 peratus belia ingin menyertai perbincangan mengenai masa depan Singapura, manakala 80 peratus lagi menyuarakan keinginan yang kuat untuk berkhidmat demi masyarakat.