Lebih ramai penduduk Singapura berasa perlu ada penglibatan lebih besar pemerintah dalam menguruskan isu kaum dan agama pada 2024, berbanding enam tahun lalu.
Sebaliknya hanya sedikit berasa perlu penglibatan lebih besar pemerintah dalam hal penghijrahan dan perbezaan taraf sosioekonomi.
Demikian menurut satu laporan Institut Kajian Dasar (IPS) yang dikeluarkan pada 4 Februari.
Dalam tinjauan yang dijalankan IPS pada 2024, 30.5 peratus daripada responden berkata pemerintah perlu lebih terlibat dalam isu kaum, berbanding 27.3 peratus pada 2018.
Bagi isu agama, 28.4 peratus responden berasa pemerintah perlu terlibat, berbanding 23.2 peratus pada 2018.
Kertas IPS itu – yang membentangkan dapatan mengenai persepsi orang ramai terhadap garis perbezaan pendapat masyarakat di Singapura dan cara ia diuruskan – dikeluarkan ketika Parlimen membahaskan Rang Undang-undang Pengekalan Keharmonian Kaum pada 4 Februari, bagi menyatukan dan mengukuhkan kuasa pemerintah untuk mengekalkan keharmonian kaum di Singapura.
Tinjauan IPS 2024, yang dijalankan dari April hingga Ogos tahun itu, melibatkan 4,000 penduduk Singapura diwakili secara nasional, lapor The Straits Times.
Dapatan itu dibangunkan daripada data yang dikumpul dalam tinjauan 2018, dan memberikan sentimen awam yang terperinci mengenai beberapa isu termasuk kaum, agama, penghijrahan dan taraf sosioekonomi.
Dalam dua tinjauan itu, sekitar dua pertiga responden – 63.3 peratus pada 2024 dan 65.7 peratus pada 2018 – berkata terdapat penglibatan pemerintah yang mencukupi dalam menguruskan isu kaum, manakala kurang daripada satu dalam 10 – 6.2 peratus pada 2024 dan 7 peratus pada 2018 – memilih kurang penglibatan.
Begitu juga, bagi isu agama, kira-kira dua pertiga daripada responden – 64.8 peratus pada 2024 dan 67.8 peratus pada 2018 – memilih penglibatan pemerintah dikekalkan, manakala kurang daripada satu dalam 10 – 6.9 peratus pada 2024 dan 9 peratus pada 2018 – mahukan kurang penglibatan pemerintah.
Tinjauan itu mendapati bahawa responden kaum Cina lebih cenderung berasakan tahap penglibatan pemerintah berkenaan isu kaum harus kekal di tahap yang sama.
Kira-kira 66.8 peratus responden Cina berasa perkara ini, berbanding kira-kira separuh daripada responden Melayu (51.4 peratus), India (51.2 peratus), dan lain-lain kaum (52.9 peratus).
Mengenai penglibatan pemerintah dalam mengurus beberapa isu termasuk perbezaan taraf sosioekonomi dan penghijrahan, lebih ramai berpuas hati dengan tahap penglibatan pemerintah pada 2024, berbanding pada 2018.
Bagi penglibatan pemerintah dalam mengurus perbezaan taraf sosioekonomi, 56.4 peratus berkata terdapat penglibatan yang mencukupi pada 2024, berbanding 48.7 peratus pada 2018.
Begitu juga, 55.4 peratus berpuas hati dengan penglibatan pemerintah dalam isu penghijrahan pada 2024, berbanding 45.7 peratus pada 2018.
Secara keseluruhan, tinjauan 2024 mendapati lebih tiga perempat daripada responden berpuas hati dengan cara isu kaum dan agama dikendalikan di Singapura, dengan 56.1 peratus menunjukkan mereka berpuas hati, dan 20.6 peratus mengatakan mereka sangat berpuas hati.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg