Kepercayaan rakyat Singapura terhadap berita terus berada pada tahap lebih tinggi daripada purata sejagat, manakala tingkah laku penghindaran berita atau dikenali sebagai news avoidance kekal rendah.
Demikian dapatan hasil tinjauan Laporan Berita Digital 2025 Reuters Institute, yang turut mendapati saluran media arus perdana kekal sebagai jenama berita paling dipercayai di Singapura, dengan akhbar, The Straits Times (ST), muncul di tangga teratas.
Sebanyak 75 peratus responden warga Singapura yang ditinjau mempercayai ST, diikuti CNA (74 peratus) dan Channel 5 News (73 peratus) dan ketiga-tiga ini adalah antara 15 jenama berita dari Singapura yang dimasukkan di dalam tinjauan.
Laporan itu meninjau 100,000 individu di 48 pasaran, termasuk 2,014 individu di Singapura dan 45 peratus daripada responden menyatakan mereka seringkali mempercayai sesuatu berita.
Ini meletakkan Singapura di tangga ke-15 di peringkat sejagat dan ketiga bagi rantau Asia-Pasifik, di belakang Thailand (55 peratus) dan Hong Kong (52 peratus).
Kepercayaan terhadap berita di sini kekal tekal sejak lapan tahun lalu (2017) dan meningkat sedikit daripada 42 peratus yang dicatatkan pada tahun itu.
Tinjauan turut mendapati kepercayaan keseluruhan terhadap berita di seluruh dunia kekal pada 40 peratus untuk tahun ketiga berturut-turut.
Ia kekal lebih rendah daripada 44 peratus yang dicatatkan pada 2021.
Sementara itu, penghindaran berita, yang biasanya meningkat apabila tahap kepercayaan menurun, berada pada tahap tertinggi.
Di seluruh dunia, kira-kira 40 peratus responden berkata mereka kadangkala atau sering menghindari sesuatu berita.
Ia meningkat sedikit berbanding 39 peratus pada 2024 dan 29 peratus pada 2017.
Alasan utama yang diberikan oleh responden di seluruh dunia menghindari berita adalah disebabkan kesan negatif terhadap perasaan atau fikiran, rasa letih dengan jumlah berita dan terlalu banyak liputan konflik dan peperangan.
Namun peratusan responden di Singapura yang mengatakan mereka kadang-kadang atau sering menghindari berita adalah 27 peratus, iaitu kelima terendah daripada 48 negara dan wilayah yang ditinjau.
Negara dengan kadar penghindaran berita terendah termasuk Jepun (11 peratus) dan Taiwan (21 peratus), manakala yang tertinggi dicatatkan Bulgaria (63 peratus), Turkey dan Croatia (61 peratus).
Selain itu, laporan tersebut turut menyatakan jenama berita Singapura, sebahagian besarnya mengekalkan atau meningkatkan tahap kepercayaan jenama mereka.
Jenama wadah berita alternatif dan bebas pula masih berada pada kedudukan yang lebih rendah, sebahagiannya disebabkan oleh rekod prestasi mereka yang terhad dan penekanan pada berita tular, tambah laporan itu.
Di Singapura, ST dan CNA berkongsi kedudukan tertinggi bagi capaian luar talian, dengan 33 peratus responden mengatakan mereka menggunakan kedua-dua wadah tersebut setiap minggu.
CNA sumber berita dalam talian yang paling banyak digunakan (47 peratus), diikuti Mothership (46 peratus) dan laman web ST (41 peratus).
Media dalam talian dan media sosial kekal sebagai wadah lumrah untuk mengakses berita di Singapura, manakala televisyen dan wadah cetak mencatat penurunan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tambah laporan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg