Topik diikuti
Pergi ke BHkuTinjauan: Majoriti peminat nikmati Piala Dunia tanpa langganan berbayar
Tinjauan: Majoriti peminat nikmati Piala Dunia tanpa langganan berbayar
45% responden tonton perlawanan menerusi siaran percuma; 5% langgan siaran berbayar
Tinjauan: Majoriti peminat nikmati Piala Dunia tanpa langganan berbayar
Majoriti daripada lebih 700 responden dalam satu tinjauan yang dilakukan Persatuan Pengguna Singapura (Case) menyatakan mereka menonton perlawanan Piala Dunia 2026 secara percuma, dengan hanya 5 peratus memilih untuk melanggan siaran berbayar.
Dapatan tinjauan yang diumumkan presiden Case, Encik Melvin Yong, menerusi satu catatan Facebook pada 8 Julai, menunjukkan 45 peratus responden menonton perlawanan menerusi siaran percuma seperti yang disediakan Mediacorp.
Sementara itu, 22 peratus responden berkata mereka mengikuti kejohanan yang berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai itu menerusi klip video dalam talian atau media sosial, manakala hanya 5 peratus menonton melalui langganan berbayar.
Kira-kira separuh daripada responden, iaitu 49 peratus, menyatakan mereka bersikap neutral tentang kenyataan ‘harga langganan untuk menonton Piala Dunia adalah berpatutan’.
Sebanyak 40 peratus pula menyatakan mereka tidak bersetuju atau sangat tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut.
Harga langganan standard bagi kejohanan kali ini kekal pada $118, sama seperti 2022.
Dari segi corak tontonan, 39 peratus responden berkata mereka hanya menonton sorotan perlawanan, manakala 26 peratus menonton beberapa perlawanan tertentu.
Hanya 6 peratus menyatakan mereka mengikuti perlawanan secara tetap.
Kejohanan yang diadakan di Amerika Syarikat, Canada dan Mexico itu menyaksikan kebanyakan perlawanan bermula antara tengah malam hingga tengah hari waktu Singapura.
Menurut Encik Yong, dapatan tinjauan itu menunjukkan lebih ramai peminat kini dapat menikmati kejohanan tanpa perlu melanggan siaran berbayar berikutan lebih banyak perlawanan disiarkan secara percuma serta sorotan perlawanan dimuat naik dengan pantas di platform dalam talian.
Pada Februari lalu, Mediacorp mengumumkan ia akan menyiarkan 28 daripada 104 perlawanan secara percuma menerusi Channel 5 dan mewatch.
Ini merupakan peningkatan berbanding hanya sembilan perlawanan disiarkan pada 2022.
Piala Dunia 2026 turut diperluaskan daripada 32 kepada 48 pasukan, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan perlawanan daripada 64 kepada 104.
Selain siaran percuma, peminat boleh melanggan pakej bernilai $118 bagi menonton kesemua 104 perlawanan secara langsung dan berdasarkan permintaan menerusi mewatch serta rakan penyiar Mediacorp, Singtel dan StarHub.
Sebagai perbandingan, harga langganan standard pada 2018 dan 2014 ialah $112.35, manakala pada 2010, ia berharga $94 – lebih enam kali ganda berbanding caj yang dikenakan bagi edisi sebelumnya.
