ATLANTA: Ketika perlawanan berbaki 12 minit sebelum wisel penamat ditiupkan, Mesir berada di ambang mencatatkan keputusan paling hebat dalam sejarah Piala Dunia mereka.

Ketika itu, pasukan The Pharaohs itu mendahului juara bertahan, Argentina, 2-0 di Stadium Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat, dalam aksi pusingan 16 terakhir pada 7 Julai.

Slot ke suku akhir yang pertama buat negara itu seakan sudah berada dalam genggaman.

Namun, segalanya berubah dalam sekelip mata.

Selepas Cristian Romero merapatkan jurang gol pada minit ke-79, Mesir dijangka bangkit mempertahankan kemenangan.

Sebaliknya, mereka mula cemas apabila kapten Argentina, Lionel Messi, menyamakan kedudukan 2-2 selang empat minit kemudian.

Enzo Fernandez kemudian melengkapkan kebangkitan luar biasa Argentina menerusi tandukan pada minit kedua masa kecederaan, sekali gus mencetuskan kegembiraan luar biasa dalam kalangan penyokong mereka.

Mesir akhirnya tersingkir dalam kekecewaan dan kemarahan membara, selepas video pembantu pengadil (VAR) membatalkan gol kedua Mostafa Zico ekoran kekasaran awal. 

Pemain tengah, Marwan Attia, dihukum kerana terpijak sedikit kaki Lisandro Martinez pada awal hantaran, semasa mereka sedang mendahului 1-0 menyusuli jaringan Yasser Ibrahim.

Mereka turut berkeras bahawa Mohamed Salah telah dikasari dalam kotak penalti Argentina, hanya beberapa saat sebelum pasukan lawan itu melancarkan serangan balas yang membuahkan gol kemenangan.

Sebaik sahaja pengadil Perancis, Francois Letexier, meniup wisel penamat, ramai pemain Mesir rebah ke padang, seakan tidak percaya dengan perkara yang berlaku dalam perlawanan itu.

Dalam wawancara selepas perlawanan, ketua jurulatih Mesir, Hossam Hassan, menegaskan bahawa pasukannya telah “diperlakukan secara tidak adil”.

“Terdapat banyak perkara yang menimbulkan tanda tanya, sama ada di dalam mahupun di luar padang,” kata Hassan.

“Banyak perkara negatif yang berlaku di sekeliling kami. Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah (isu) kebolehpercayaan, ia jelas kekurangan berdasarkan bagaimana perlawanan dikendalikan.”

“Mungkin mereka mahu mengekalkan juara dunia itu dalam kejohanan ini. Mungkin mereka mahu Messi terus bersaing.

“Juara dunia itu menerima sokongan di setiap peringkat. Kelihatan seperti tekanan wujud daripada pihak Argentina terhadap keputusan perlawanan ini.”

Perlawanan dramatik tersebut menyaksikan segala-galanya berlaku – daripada aksi menyelamatkan penalti, pembatalan gol oleh VAR, kad merah dilayangkan, sehingga kebangkitan luar biasa yang mendebarkan.

Dalam perlawanan penuh drama, penjaga gol Mesir, Mostafa Shobeir, mempamerkan aksi tangkas apabila menyelamatkan sepakan penalti Messi, sebelum skuad The Pharaohs menyangka mereka berjaya menambah satu gol yang kemudian dibatalkan.

Gol kemenangan lewat Fernandez mencetuskan kemarahan lebih mendalam apabila pihak Mesir menuntut sepakan penalti ekoran kekasaran ke atas Salah, sehingga mengakibatkan seorang kakitangan kejurulatihan di bangku simpanan Mesir dilayangkan kad merah.

Pengurus Mesir turut dilayangkan kad kuning kerana membantah gol kemenangan Argentina itu dengan menyilangkan kedua-dua belah tangannya – satu simbol yang diiktiraf Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) bagi pemain dan jurulatih sebagai memberi isyarat kepada pengadil mengenai insiden perkauman.

Pengurus Mesir, Hossam Hassan (tiga dari kanan), dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Francois Letexier.
Pengurus Mesir, Hossam Hassan (tiga dari kanan), dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Francois Letexier. - Foto REUTERS

Namun, Hassan tidak mengulas lanjut mengenai isyarat tersebut.

“Kami tidak melihat sifat hormat mahupun semangat kesukanan (dalam perlawanan berkenaan),” katanya, selepas perlawanan tamat.

“Satu penalti (untuk kami) ditolak, malah ia langsung tidak diperiksa oleh VAR, manakala gol kedua kami pula dibatalkan atas alasan yang tidak ketahui.

“Kita semua nampak jersi (Salah) ditarik (oleh Alexis Mac Allister), tetapi tiada sebarang semakan VAR dilakukan. Kehidupan ini tidak adil, kehidupan biasa memang tidak adil, tetapi mengapa tidak wujud keadilan dalam sukan?”

Penyerang Mesir yang menjaringkan gol kedua, Zico, menambah: 

“Pengadil sangat tidak adil. Ketidakadilan ini amat nyata dan ia telah berlaku sejak awal perlawanan lagi.” – Agensi berita.