Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan MDDI: 74% pengguna Internet lihat kandungan berbahaya

Jul 26, 2024 | 2:41 PM
Terdapat juga peningkatan ketara melibatkan kandungan yang menghasut ketegangan antara kaum atau agama, serta kandungan bersifat ganas yang dilihat di media sosial.
Terdapat juga peningkatan ketara melibatkan kandungan yang menghasut ketegangan antara kaum atau agama, serta kandungan bersifat ganas yang dilihat di media sosial. - Foto ST

Semakin ramai pengguna Internet di sini ternampak kandungan berbahaya seperti pembulian atau kandungan seksual di ruang siber.

Sebanyak 74 peratus responden dalam satu tinjauan pada April lalu ternampak kandungan sebegitu, meningkat daripada 65 peratus pada 2023.

Namun, hanya sekitar satu perempat daripada mereka melaporkannya.

Tinjauan pada 2024 itu dijalankan oleh Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), lapor The Straits Times (ST).

Daripada kandungan berbahaya itu, terdapat juga peningkatan ketara melibatkan kandungan yang menghasut ketegangan antara kaum atau agama, serta kandungan bersifat ganas yang dilihat di media sosial.

Kandungan yang menghasut ketegangan antara kaum atau agama meningkat 13 peratus, dan kandungan bersifat ganas pula naik 19 peratus berbanding 2023.

Tinjauan melibatkan 2,098 orang di Singapura berusia 15 tahun dan ke atas itu mendapati 66 peratus responden pernah melihat kandungan berbahaya di media sosial yang ditetapkan seperti Facebook dan HardwareZone.

Ini meningkat daripada 57 peratus pada 2023, apabila tinjauan pertama sedemikian dijalankan oleh Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) yang kini dinamakan semula sebagai MDDI.

Kandungan media sosial berbahaya yang dilihat kian meningkat, walaupun terdapat pelbagai langkah yang bertujuan mengurangkan pendedahan pengguna kepada kandungan berbahaya di ruang siber.

Tinjauan itu merangkumi enam wadah khidmat media sosial yang ditetapkan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), iaitu Instagram, TikTok, X, YouTube, Facebook dan HardwareZone, yang mempunyai capaian ramai atau impak ketara, dan perlu mematuhi Kod Amalan bagi Keselamatan Dalam Talian IMDA, yang berkuat kuasa pada Julai 2023.

Antara lain, kod amalan itu memerlukan perkhidmatan tersebut mengurangkan pendedahan pengguna Singapura kepada kandungan berbahaya, dengan perlindungan tambahan untuk kanak-kanak.

Tinjauan Keselamatan Dalam Talian itu bertujuan memahami pengalaman pengguna Internet yang melihat kandungan berbahaya, selain tindakan yang diambil responden apabila melihat kandungan sedemikian.

Selain media sosial, tinjauan itu mendapati 28 peratus responden ternampak kandungan berbahaya di wadah lain, seperti aplikasi pengiriman mesej, laman berita dan wadah permainan.

Hanya kira-kira 27 peratus responden melaporkan kandungan berbahaya kepada wadah berkenaan, manakala 61 peratus responden mengabaikannya, dan 35 peratus menyekat akaun atau pengguna yang menyinggung perasaan.

“Walaupun kandungan berbahaya yang tersebar luas di wadah ini mungkin sebahagiannya disebabkan jumlah penggunanya yang lebih besar berbanding wadah lain, ia juga satu peringatan bahawa (pengendali) wadah ini mempunyai tanggungjawab lebih besar,” tegas MDDI dalam satu kenyataan media.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg