Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tipu SMRT lebih $4j: 4 lelaki dihukum penjara

Nov 12, 2025 | 5:43 PM
smrt, tipu, penjara
Akbar Ali Tambishahib (kiri) dan Zulkifli Marwi (atas, kanan) masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua tahun dua bulan, manakala Zakaria Mohamed Shariff ,dijatuhi hukuman penjara empat tahun sembilan bulan. - Foto ST

Sekumpulan pekerja SMRT bersama seorang lelaki yang tidak pernah bekerja dengan penyedia pengangkutan itu telah bersekongkol menipu syarikat berkenaan supaya membayar lebih $4 juta kepada dua syarikat.

Pada ketika kesalahan dilakukan, Jamalludin Jumari, 68 tahun, ialah seorang pengurus di SMRT manakala Zakaria Mohamed Shariff, 67 tahun, berkhidmat sebagai penolong jurutera.

Menurut dokumen mahkamah, Jamalludin dan Zakaria telah secara sembunyi-sembunyi menggunakan dua syarikat yang didaftarkan atas nama rakan Zakaria, Akbar Ali Tambishahib, 68 tahun, untuk mendapatkan projek daripada SMRT.

Seorang lagi pekerja SMRT, Zulkifli Marwi, 60 tahun, yang ketika itu bekerja sebagai pengurus laluan, kemudian menyertai skim tersebut.

Zulkifli didakwa berkaitan sebahagian daripada jumlah berkenaan, iaitu lebih $3.5 juta.

Pada 12 November, Jamalludin dan Zakaria masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun sembilan bulan.

Hakim Daerah Eddy Tham berkata Jamalludin merupakan individu yang memulakan skim tersebut, manakala Zakaria memainkan peranan utama.

Akbar dan Zulkifli, yang turut terlibat, masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua tahun dua bulan pada 12 November.

Menurut Hakim Tham, Akbar hanya memainkan peranan kecil dalam kesalahan berkenaan.

Pada perbicaraan sebelum ini, Jamalludin, Zakaria dan Akbar masing-masing telah disabitkan atas 28 tuduhan menipu, manakala Zulkifli disabitkan atas 24 tuduhan menipu. 

Jamalludin, Zakaria dan Zulkifli kini tidak lagi berkhidmat di SMRT, lapor The Straits Times (ST).

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) David Koh dan Suriya Prakash, menyatakan dalam hujah mereka bahawa pada ketika kesalahan dilakukan, Jamalludin dan Zakaria mengendali dua syarikat – Enovation Industries (EI) dan Enovation Technologies (ET).

Pendakwa turut berkata kedua-dua lelaki itu telah memutuskan untuk secara sembunyi-sembunyi menggunakan pengetahuan mereka bagi membida kontrak SMRT untuk membekalkan barangan dan perkhidmatan kepada pengendali pengangkutan tersebut.

“Mereka sedar mereka perlu mengisytiharkan kepentingan mereka (dalam syarikat berkenaan) kepada SMRT dan bimbang akan dikecualikan daripada penyertaan dalam kontrak, atau lebih teruk, dibuang kerja.

“Justeru, mereka mendapatkan bantuan (Akbar), yang langsung tiada pengalaman dalam kereta api atau kerja landasan,” kata pihak DPP kepada Hakim Tham.

Menurut dokumen mahkamah, Akbar didaftarkan sebagai pengarah tunggal EI serta pengarah serta pemegang saham tunggal ET.

Jamalludin, Zakaria dan Akbar pada mulanya bekerjasama untuk menipu SMRT dengan menyembunyikan kepentingan peribadi Jamalludin dan Zakaria dalam EI, kata DPP.

Syarikat itu kemudian menghantar bidaan bagi permintaan sebut harga (RFQ) untuk menyediakan barangan dan perkhidmatan kepada SMRT.

Daripada sebut harga yang dihantar, SMRT menganugerahkan tiga projek kepada EI melalui pesanan pembelian pada 2007 dan 2008, dengan jumlah pembayaran melebihi $87,000.

DPP berkata komplot itu kemudian melibatkan Zulkifli, yang membantu rakan-rakannya mendapatkan maklumat sulit yang memihak kepada EI dan ET.

ET kemudian menghantar sebut harga bagi RFQ untuk penyediaan barangan dan perkhidmatan kepada SMRT. 

Daripada sebut harga yang dihantar, SMRT menganugerahkan 23 projek kepada ET antara 2009 dengan 2011, dengan nilai keseluruhan kontrak melebihi $3 juta.

Keempat-empat lelaki tersebut didakwa di mahkamah pada 2017.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg