Bagi Cik Sumi Majuri, 77 tahun, yang pergi ke Hospital Besar Sengkang setiap tiga hingga enam bulan sekali untuk pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan ubat-ubatannya, tokokan MediSave yang bakal diterima sebagai warga emas Generasi Perintis amat disyukuri.
Ini kerana Cik Sumi akan membelanjakan sekurang-kurangnya $800 setiap kali ke hospital untuk membiayai kos pemeriksaan kesihatan serta ubat-ubatan bagi penyakit yang dihadapi seperti tekanan darah dan kolesterol tinggi serta penyakit jantung.
“Sebenarnya anak-anak bantu saya uruskan segala perbelanjaan berkaitan dengan kos perubatan ni.
“Tetapi pernah sekali saya melihat surat dari lawatan saya ke hospital dan saya mendapat tahu bahawa sekurang-kurangnya $800 telah ditolak daripada akaun MediSave saya.
“Mujur saya dapat bergantung sepenuhnya kepada MediSave untuk menampung kos perbelanjaan perubatan saya,” kongsi ibu kepada tiga anak dan sembilan cucu itu kepada Berita Harian (BH).
Kementerian Kewangan (MOF), dalam kenyataannya pada 7 Jun, telah mengumumkan kira-kira 300,000 warga emas Generasi Perintis akan menerima tokokan MediSave pada Julai, berjumlah lebih $150 juta secara keseluruhannya.
MediSave boleh digunakan untuk membayar premium untuk MediShield Hayat, CareShield Hayat, ElderShield dan pelan insurans lain yang diluluskan oleh MediSave, serta perbelanjaan perubatan seperti kemasukan ke hospital, pembedahan sehari, dan rawatan untuk pesakit luar yang diluluskan.
Dalam pada itu, Generasi Perintis seperti Cik Sumi layak menerima tokokan MediSave sebanyak $250 hingga $900 setiap tahun.
Di samping itu, Generasi Perintis yang berumur 85 tahun dan ke atas pada 2024, yang mempunyai keadaan serius juga akan menerima tokokan berjumlah antara $50 dengan $200 setahun dari 2021 hingga 2025 untuk membantu mereka membayar Premium MediShield Hayat.
Tokokan tambahan MediSave untuk Generasi Perintis yang lebih tua dan mempunyai penyakit serius telah diumumkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) pada 21 Disember 2020.
Ini sebagai sebahagian daripada komitmen pemerintah untuk mengekalkan premium MediShield Hayat yang dimampui untuk Generasi Perintis, yang pada umumnya mempunyai simpanan MediSave yang lebih rendah berbanding warga muda.
“Alhamdulillah saya layak terima tokokan MediSave sebanyak $250 bagi membantu meringankan perbelanjaan kesihatan saya.
“Walaupun saya menetap sendirian, anak-anak dan cucu-cucu saya akan menemani saya ke hospital ataupun ke klinik di bawah blok jika saya jatuh sakit.
“Dengan adanya tokokan pada Julai, saya tidak perlu risau sangat,” tambah ibu tunggal yang menetap di kejiranan Macpherson itu.
Tokokan MediSave bagi Generasi Perintis adalah seperti berikut:
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg