Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tokokan MediSave ringan beban kos rawatan

Jun 16, 2025 | 7:49 PM
Cik Siti Zulzanan Saibi berkata tokokan MediSave memudahkan urusan rawatannya kerana beliau tidak perlu mengeluarkan wang tunai dan sesuatu yang amat membantu memandangkan beliau tidak bekerja.
Cik Siti Zulzanan Saibi berkata tokokan MediSave memudahkan urusan rawatannya kerana beliau tidak perlu mengeluarkan wang tunai dan sesuatu yang amat membantu memandangkan beliau tidak bekerja. - Foto BH oleh KHALID BABA

Bagi pesakit kronik seperti Cik Siti Zulzanan Saibi, lawatan biasa ke doktor untuk mendapatkan ubat kencing manis dan darah tinggi boleh menelan belanja sekitar $50 hingga $60.

Namun, dengan kad Generasi Perintis (PG), beliau hanya membayar sekitar $3 hingga $4 untuk lawatan sedemikian.

Selain itu, manfaat PG juga membantu meringankan beban kewangan beliau dalam membiayai kos perubatan seperti bil hospital tanpa perlu mengeluarkan wang tunai.

“MediSave membantu saya sedikit-sedikit juga. Apabila saya pergi ke hospital atau poliklinik, semua bayaran boleh gunakan MediSave, jadi tak perlu keluarkan duit tunai,” kongsi Cik Siti Zulzanan sewaktu dihubungi Berita Harian (BH) pada 16 Jun.

Penyakit seperti kencing manis yang dihidapi beliau merupakan antara 23 keadaan kronik yang tergolong di bawah Program Pengurusan Penyakit Kronik (CDMP), yang membolehkan pesakit menggunakan MediSave untuk membayar rawatan mereka.

Beliau yang berusia 80 tahun adalah salah seorang daripada sekitar 300,000 rakyat Singapura daripada Generasi Perintis (PG) yang akan menerima tokokan MediSave antara $300 dengan $1,200 pada Julai.

Dalam satu kenyataan media Kementerian Kewangan (MOF) pada 16 Jun, tokokan tersebut secara keseluruhannya akan berjumlah lebih $160 juta.

Rakyat Singapura yang dilahirkan antara 1945 dengan 1949 akan mendapat $300. Bagi Cik Siti, yang akan menyambut ulang tahunnya yang ke-80 pada Ogos, beliau akan mendapat tokokan sejumlah itu.

Di samping kunjungan ke klinik perubatan umum (GP), nenek kepada 13 cucu itu juga membuat lawatan ke Poliklinik Woodlands dan Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) untuk pemeriksaan kesihatan seperti ujian darah dan pemeriksaan mata.

Menurut Cik Siti Zulzanan, ia biasanya diadakan sekali atau dua kali setahun.

Walaupun sudah lanjut usia, ibu kepada empat anak dewasa itu tetap aktif meluangkan masanya, seperti menjadi sukarelawan di Jawatankuasa Penduduk (RC) Zon 3 Marsiling.

Beliau yang tinggal bersama anak bongsunya di Marsiling Rise, Cik Marsina Mohd Khalid, juga mengisi masa lapangnya di rumah dengan menjahit secara sukarela.

Dalam pada itu, Cik Marsina berkongsi bahawa tokokan MediSave itu menawarkan satu kelegaan yang dialu-alukan bagi keluarganya yang dianggap sebagai persiapan sekiranya kos rawatan perlu ditambah.

Jurutera projek itu menukil contoh pengalaman ibu mentuanya yang telah menjalani prosedur yang tidak boleh menggunakan MediSave.

“Jadi, kalau ibu saya perlukan rawatan seperti itu pada masa depan, kami mesti bersedia dari segi kewangan. Oleh itu, tokokan MediSave ini sangat penting dan amat kami alu-alukan.

“Ia boleh bantu kurangkan beban kewangan kelak,” katanya yang berusia 50 tahun itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg