Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tonton acara Hari Kebangsaan bersama erat hubungan jiran tetangga

Aug 10, 2024 | 6:00 PM
Encik Muhammad Shahid Haron (berseluar hitam duduk di lantai) bersama keluarga dan jiran tetangganya meraikan ulang tahun Singapura dengan menonton Sambutan Kejiranan Hari Kebangsaan secara langsung melalui platform penstriman di kaca televisyen. Sambutan itu diadakan di padang terbuka bersebelahan pusat beli-belah Waterway Point di Punggol pada 10 Ogos.
Encik Muhammad Shahid Haron (berseluar hitam duduk di lantai) bersama keluarga dan jiran tetangganya meraikan ulang tahun Singapura dengan menonton Sambutan Kejiranan Hari Kebangsaan secara langsung melalui platform penstriman di kaca televisyen. Sambutan itu diadakan di padang terbuka bersebelahan pusat beli-belah Waterway Point di Punggol pada 10 Ogos. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Mewujudkan satu persekitaran kejiranan supaya jiran tetangga lebih cenderung bertegur sapa dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

Demikian matlamat Encik Muhammad Shahid Haron, 38 tahun, ketika beliau menganjurkan satu perjumpaan pada 10 Ogos untuk menonton penstriman secara langsung Sambutan Kejiranan Hari Kebangsaan.

Lebih daripada 20 tetamu, termasuk jiran, rakan dan ahli keluarga Encik Shahid berkumpul di rumah ibunya di Tampines sekitar 4 petang untuk menonton Sambutan Kejiranan Hari Kebangsaan secara langsung melalui platform penstriman di kaca televisyen.

Sambutan itu diadakan di padang terbuka bersebelahan pusat beli-belah Waterway Point di Punggol.

“Kebanyakan pemilik rumah sekarang tidak kenal jiran mereka di unit sebelah. Pada zaman ibu bapa kami dahulu, jiran di blok bertentangan pun mereka kenal.

“Jadi tujuan menganjurkan sesi menonton penstriman Sambutan Kejiranan Hari Kebangsaan beramai-ramai ini adalah untuk mencipta suasana jiran tetangga – tidak kira bangsa Melayu, Cina, India – mahu pun yang tinggal di blok sebelah atau belakang, saling mengenali antara satu sama lain sambil meraikan kemerdekaan negara kita.

“Menjalinkan hubungan dengan jiran amat penting kerana merekalah orang pertama yang boleh menghulurkan bantuan sekiranya timbul kecemasan atau masalah.

“Keluarga sendiri mungkin tinggal jauh. Tetapi untuk jiran, dengan sekelip mata sahaja mereka boleh tiba di depan pintu,” jelas Encik Shahid.

Encik Muhammad Shahid, ahli Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di Kelab Masyarakat Tampines Central, antara 59 hos yang membuka rumah mereka kepada penduduk kelompok North East.

Berbekalkan niat untuk merapatkan silaturahim antara jiran dan rakan sebaya yang terpahat dalam hatinya, Encik Shahid memastikan tetamunya dilayan dengan baik sepanjang sesi menonton penstriman Sambutan Kejiranan Hari Kebangsaan itu.

Beliau memastikan makanan cukup dan kegiatan seperti permainan untuk kanak-kanak turut disediakan.

“Saya juga baru sahaja membeli set karaoke jadi kami boleh bernyanyi sambil menantikan penstriman sambutan secara langsung itu bermula.

“Untuk alat penstriman pula, saya tidak perlu risau kerana kakitangan Persatuan Rakyat (PA) datang ke rumah untuk menyediakan peralatan yang diperlukan,” ujarnya.

Encik Shahid, bapa kepada tiga anak kecil, juga meminta tetamunya untuk berpakaian baju merah atau putih bagi menyemarakkan lagi suasana Hari Kebangsaan.

Untuk meningkatkan lagi suasana patriotik, beliau menyediakan bendera Singapura supaya tetamu dan keluarga boleh mengibarkan bendera sambil menikmati penstriman Sambutan Kejiranan Hari Kebangsaan itu.

Pada masa yang sama, Hari Kebangsaan mempunyai kepentingan peribadi bagi Encik Shahid.

Sebabnya, keluarga Encik Shahid secara tradisi akan berkumpul pada 9 Ogos untuk menyambut hari lahir anak saudaranya dan ulang tahun perkahwinan kakak serta abang iparnya, masing-masing pada tarikh 7 dan 8 Ogos.

Namun, selain keluarganya, beliau dapat meraikan sambutan tahun ini bersama rakan dan jiran tetangganya, lantas memberinya kesempatan untuk mengeratkan perpaduan sosial di kawasan kejiranannya.

Mengulas tentang perpaduan masyarakat, Encik Shahid berkata:

“Ikatan masyarakat sangat penting kerana ia amat diperlukan bagi sesebuah negara menjadi maju. Jika ikatan masyarakat tidak kukuh, asas negara itu tidak akan menjadi stabil.

“Dan untuk menjadikan ikatan masyarakat kukuh, kita perlu mempunyai sifat bergotong-royong dan mempereratkan hubungan antara jiran, tidak kira jiran kita bangsa India, Cina atau Melayu.”

Encik Shahid, yang sering mengembara kerana pekerjaannya sebagai kru kabin pesawat, berkongsi penghargaannya terhadap kestabilan dan keselamatan Singapura berbanding negara lain.

“Tanpa pengorbanan dan perjuangan nenek moyang kita untuk membina negara ini, mungkin kita tidak akan berada di sini pada hari ini.

“Saya bersyukur untuk tinggal di negara yang mempunyai pelbagai kaum dan budaya. Menerusi sesi menonton penstriman sambutan ini, saya harap untuk menyerlahkan lagi kepelbagaian yang ada dalam kalangan masyarakat kita,” kongsi Encik Shahid.

Jadi tujuan menganjurkan sesi menonton penstriman Sambutan Kejiranan Hari Kebangsaan beramai-ramai ini adalah untuk mencipta suasana jiran tetangga – tidak kira bangsa Melayu, Cina, India – mahu pun yang tinggal di blok sebelah atau belakang, saling mengenali antara satu sama lain sambil meraikan kemerdekaan negara kita. Menjalinkan hubungan dengan jiran amat penting kerana merekalah orang pertama yang boleh menghulurkan bantuan sekiranya timbul kecemasan atau masalah.
Encik Muhammad Shahid, ahli Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di Kelab Masyarakat Tampines Central.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg