Seorang anggota Polis Trafik (TP) berpangkat sarjan didakwa pada 25 Jun atas kesalahan memecut secara berbahaya semasa menunggang motosikal polis sehingga melanggar dan mengakibatkan kematian seorang pejalan kaki pada 2023.
Muhammad Firdaus Yusoff, 32 tahun, didakwa menunggang motosikal dengan kelajuan antara 94.3 kilometer sejam (kmj) dengan 111kmj berhampiran simpang Hougang Avenue 3 dan Kim Chuan Drive, melebihi had laju 50kmj.
Kejadian berlaku pada 21 Jun 2023, pada 5.35 petang, ketika Firdaus sedang menjalankan rondaan.
Firdaus didakwa tidak dapat bertindak pantas lalu melanggar Encik Tan Leng Hing, yang sedang melintas jalan raya dari kiri Firdaus.
Ini menyebabkan Encik Tan mengalami pelbagai kecederaan, yang menyebabkan kematiannya.
Dokumen mahkamah tidak memperincikan kecederaan mangsa.
Seorang jurucakap polis memberitahu The Straits Times, berikutan nahas itu, polis telah memulakan siasatan terhadap tertuduh dan dia digantung daripada melakukan tugas di barisan hadapan.
Firdaus tidak membuat pengakuan semasa dihadapkan di depan hakim.
Kesnya ditangguhkan ke 6 Ogos.
Mereka yang disabitkan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian boleh dipenjara antara dua dengan lapan tahun, dan juga dilarang memandu.
“Pegawai Pasukan Polis Singapura (SPF) harus mengamalkan sikap berhati-hati demi keselamatan orang ramai semasa menjalankan tugas mereka,” kata polis.
SPF menambah, ia tidak dapat mengulas lanjut kerana kes itu dibawa ke mahkamah.
Menurut perangkaan tahunan terkini TP yang dikeluarkan pada Februari, kemalangan trafik meragut 136 nyawa pada 2023, kenaikan sebanyak 25.9 peratus daripada 108 kematian pada 2022.
Angka 136 kematian adalah yang tertinggi sejak 2016, apabila terdapat 141 kematian.
Laporan tahunan itu juga menunjukkan peningkatan dalam jumlah kemalangan maut membabitkan kesalahan memandu laju, memandu dalam keadaan mabuk dan melanggar lampu merah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg