Trafik dijangka sesak di kededua pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas semasa cuti Krismas dan Tahun Baru, dan mereka yang ingin menyeberang sempadan ke Malaysia dinasihatkan supaya mengambil kira masa menunggu lebih lama.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada 19 Disember berkata lebih 3.4 juta individu melintasi kededua pusat pemeriksaan darat pada minggu pertama cuti sekolah akhir tahun, antara 15 November dengan 21 November.
Pada 13 Disember, satu rekod seramai lebih 553,000 individu melintas dalam sehari. Ini melebihi jumlah tertinggi sebelum ini iaitu seramai 543,000 individu pada 6 September.
“Mereka yang menaiki kereta dari Singapura pada waktu sibuk terpaksa menunggu sehingga tiga jam untuk melepasi imigresen, oleh sebab kesesakan yang bermula di Malaysia.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil kira waktu menunggu lebih lama, terutama pada hujung minggu,” kata ICA.
Sebagai alternatif, mereka boleh menimbangkan menggunakan khidmat bas rentas sempadan.
Mereka juga diminta bekerjasama dengan pegawai ICA, mematuhi undang-undang trafik, dan memastikan disiplin dalam perjalanan.
ICA turut menasihatkan pemandu supaya memantau keadaan trafik di pusat pemeriksaan darat, sebelum memulakan perjalanan.
“Mereka yang menaiki kereta, motosikal dan bas digalakkan menggunakan kod QR, sebagai ganti pasport, untuk pelepasan imigresen yang lebih cepat dan mudah,” kata ICA.
“Elakkan memotong jalan kerana ia boleh menyebabkan kesesakan dan membahayakan pemandu lain.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg