Orang ramai yang ingin menuju ke Malaysia semasa cuti sekolah Jun – terutamanya semasa tempoh cuti panjang Hari Raya Haji dari 6 hingga 9 Jun – dijangka akan berdepan kesesakan lalu lintas dan masa menunggu yang lebih lama di kedua-dua pusat pemeriksaan darat.
Pada 9 Mei – iaitu Jumaat sebelum cuti panjang Hari Vesak yang jatuh pada 12 Mei lalu – kesesakan dari arah Malaysia menyebabkan para pemandu terpaksa menunggu sehingga tiga jam untuk melepasi pemeriksaan imigresen, kata Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada 23 Mei.
Lebih tiga juta orang telah melalui pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas dari 8 hingga 13 Mei, menurut ICA, dengan jumlah tertinggi dicatatkan pada 9 Mei yang melebihi 546,600 pelawat.
Menjangkakan aliran trafik yang sangat sesak pada Jun, ICA menasihatkan orang ramai agar mempertimbangkan untuk menaiki bas ke Malaysia sebagai pilihan alternatif bagi mengelakkan kesesakan tersebut.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai waktu operasi dan jadual perkhidmatan bas di aplikasi MyTransport.SG oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) atau di laman web pengendali bas, lapor The Straits Times (ST).
ICA turut menggesa orang ramai agar menyemak keadaan trafik terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan sepanjang tempoh puncak.
Pemandu dan penumpang bas juga digalakkan menggunakan kod QR bagi menggantikan pasport untuk mempercepatkan proses pemeriksaan imigresen.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg