Keadaan trafik untuk memasuki Johor melalui kededua pusat pemeriksaan darat di Tuas dan Woodlands kelihatan lancar dan lengang pada 1 Oktober berikutan pelaksanaan syarat Permit Masuk Kenderaan (VEP) untuk kenderaan berdaftar asing yang memasuki Malaysia.
Malah, beberapa rakyat Singapura yang ditemui Berita Harian (BH) di Johor berkata mereka tidak menghadapi sebarang masalah atau kesesakan semasa menyeberang Tambak, meskipun mereka masih belum memohon atau mengaktifkan VEP mereka.
Pada Mei, Kementerian Pengangkutan Malaysia mengumumkan bahawa mulai 1 Oktober, kenderaan berdaftar asing yang memasuki Malaysia dari Singapura melalui darat mesti mempunyai VEP yang sah.
Tag VEP atau tag Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) berfungsi seperti “kad pengenalan” bagi kenderaan dari luar negara yang memasuki Malaysia, dan antara lain, membolehkan pihak berkuasa Malaysia mengesan rekod trafik kenderaan dari luar negara, termasuk saman tertunggak dan kesalahan trafik.
Mereka yang tidak mempunyai tag VEP boleh dinafikan masuk ke Johor, didenda tidak lebih RM2,000 ($574) atau dipenjara tidak lebih enam bulan.
Namun, pada 27 September, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mengumumkan bahawa kenderaan berdaftar asing yang masih belum memasang tag VEP menjelang tarikh akhir 1 Oktober masih dibenarkan masuk ke Malaysia dari Singapura seperti biasa.
Ia menambah, penguatkuasaan VEP akan dilaksanakan secara berperingkat dan pemandu yang masih belum memasang tag VEP akan menerima notis amaran daripada pegawai JPJ yang ditempatkan di kededua pusat imigresen darat Johor.
Semasa wartawan dan kru BH menyeberangi Tambak melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor sekitar 10.30 pagi pada 1 Oktober, tiada sebarang notis atau peringatan yang diberikan oleh pegawai imigresen meskipun tag VEP wartawan masih belum diaktifkan oleh pihak JPJ.
Ketika ditanya, pegawai tersebut berkata rakyat Singapura masih boleh memasuki Malaysia seperti biasa tanpa berasa bimbang akan didenda, dan menggesa pemandu Singapura supaya memohon VEP untuk mempermudah proses imigresen dan mengelak sebarang denda pada masa hadapan tatkala ia dikuatkuasa sepenuhnya kelak.
Dalam satu catatan Facebook pada 1 Oktober, JPJ Johor menyatakan ia telah mengeluarkan notis peringatan kepada pemilik kenderaan Singapura yang masih belum mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag VEP mereka.
Namun, lebih 10 pemandu Singapura yang ditemui BH pada 1 Oktober antara 11 pagi dengan 1 petang di Bpoint Johor Bahru, yang terletak berdekatan CIQ BSI, berkata mereka tidak menerima sebarang notis peringatan atau amaran meskipun mereka masih belum mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag VEP mereka.
Mereka turut meluahkan rasa lega dengan pengumuman JPJ bahawa sistem VEP akan dikuatkuasakan secara berperingkat.
“Mula-mula, saya risau tapi sekarang berasa tenang kerana mereka sudah umumkan akan tangguh penguatkuasaan VEP. Saya belum buat VEP kerana prosesnya memakan masa dan leceh. Saya harap JPJ akan menyemak proses dan kurangkan masa menunggu bagi pemohon.
“Lepas ini saya akan memohon VEP dan harap prosesnya akan dipercepat dan tidak menyusahkan kerana kita memang suka masuk Johor setiap minggu,” kata Encik Muhammad Yussof Sutaman, 38 tahun.
Meskipun tiada sebarang halangan untuk memasuki Johor, seorang lagi pemandu dari Singapura yang bercakap dengan BH di Johor, Encik Salihin Nur Rusli, 37 tahun, berharap JPJ akan meleraikan sebarang masalah pentadbiran yang melambatkan proses permohonan VEP.
“Saya belum buat VEP kerana prosesnya lambat. Kereta saya dulu, saya daftar menggunakan e-mel lain, dan sekarang saya tidak gunakan e-mel itu lagi. Bila saya minta mereka tukar e-mel saya, mereka kata tidak boleh.
“Jadi, di sini saya sangkut dan risau. Bukannya susah pun nak tukar e-mel saya. Lagipun, saya nak masuk Johor buat VEP tapi proses beraturnya juga panjang,” kata Encik Salihin.
Seorang lagi warga Singapura, Encik Hafeez Ahmad, 58 tahun, yang memasuki Johor kira-kira lima kali seminggu, berkata beliau masih menunggu e-mel daripada JPJ setelah memohon dan menanti lebih tiga minggu untuk VEP-nya.
Namun, beliau gembira penguatkuasaan akan ditangguh untuk memberi lebih masa bagi warga Singapura mendapatkan dan mengaktifkan VEP mereka.
“Alhamdulillah, tadi bila saya masuk, tiada penguatkuasaan. Tidak ada pegawai imigresen pun tanya saya tentang VEP. Saya pandu masuk macam biasa.
“Saya harap proses penyelenggaraan VEP ini dapat diperbaiki dan diperhalusi agar sistem VEP ini dapat dilangsungkan dengan baik,” kata Encik Hafeez.
Sejak pengumuman pelaksaanan sistem VEP pada Mei, ramai rakyat Singapura, khususnya mereka yang mempunyai kenderaan berdaftar asing, telah berpusu-pusu untuk mendaftar kereta mereka dan memohon untuk mendapatkan, memasang dan mengaktifkan tag VEP mereka.
Untuk mendapatkan VEP, pemilik kenderaan asing boleh membuat permohonan RFID-VEP secara dalam talian di laman web JPJ dengan mendaftarkan butiran kenderaan, pemilik dan pemandu kenderaan.
Mereka juga boleh mendapatkan VEP di pejabat TCSens di Danga Bay yang boleh melayani 300 kenderaan setiap hari.
Selain itu, sebuah pejabat MY VEP telah ditubuhkan di Woodlands pada 19 Ogos untuk membolehkan mereka yang menghadapi masalah dengan permohonan mereka mendapatkan bantuan.
Pada 22 September pula, JPJ mengumumkan dua lokasi baru – Kompleks JPJ Johor di Taman Daya, dan Akademi Pengangkutan Jalan (Wilayah Selatan) di Larkin – bagi menampung bilangan pemandu yang masih belum mendaftar untuk VEP.
Setakat 25 September, JPJ berkata sekitar 62,635 kenderaan persendirian berdaftar Singapura telah mengaktifkan VEP mereka.
Meskipun ada yang masih bimbang dengan pelaksanaan sistem VEP, seorang lagi warga Singapura, Cik Noor Diyanah Rohaizad, 35 tahun, berkata sistem VEP telah memudahkan kemasukan dan perjalanannya di Malaysia.
Beliau, yang telah mendapatkan VEP-nya sebelum pandemik Covid-19, berkata penggunaan VEP adalah lebih lancar berbanding penggunaan kad Touch N Go yang kini lebih lazim digunakan oleh pemandu.
“Lebih mudah menggunakan VEP. Jika tidak cukup nilai, kita boleh tambah nilai dengan aplikasi Touch ‘n Go e-wallet.
“Misalnya, kalau nak ke Kuala Lumpur, boleh sahaja gunakan RFID dan tambah nilai menggunakan e-wallet. Tidak perlu turunkan tingkap kereta. Sepanjang perjalanan, gunakan RFID sahaja.
“Saya rasa VEP baru ini lebih baik untuk rakyat Singapura kerana tidak lagi perlu kita ke kaunter tambah nilai. Kita boleh lihat baki menerusi e-wallet sebelum memasuki Malaysia,” kata Cik Noor Diyanah, yang memasuki Johor kira-kira seminggu sekali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg