Pekerja Bangladesh, Encik Basir Uddin, gemar memancing pada masa lapang bersama pemancing lain di tempat kegemarannya, di Jeti Bedok.
Juruelektrik berusia 38 tahun itu, yang bekerja di Singapura selama 15 tahun, memberitahu The Straits Times (ST) bahawa setiap kali beliau melemparkan umpan, beliau teringatkan masa kecilnya ketika memancing di sungai kampung halamannya di Bangladesh.
“Jika saya rindu rumah, saya akan memancing.
“Ia membuatkan saya rasa seperti berada di kampung halaman,” kata Encik Basir, yang menganggap Sungai Kallang sebagai salah satu tempat memancing kegemarannya.
Namun, Jeti Bedok masih menjadi tempat kegemarannya.
Beliau pernah menangkap ikan keli besar dan sekali menangkap lebih satu kilogram ikan kecil – tangkapan tersebut kemudiannya menjadi hidangan yang dikongsi bersama rakan-rakan.
Encik Basir adalah salah seorang daripada empat pekerja migran yang dipaparkan dalam tren konsep baru yang berkongsi cerita tentang cara mereka meluangkan masa lapang di Singapura.
Tren tersebut – yang memaparkan gambar dan kisah kegiatan santai pekerja migran – akan beroperasi dari 9 hingga 22 Disember di laluan Timur-Barat dan Utara-Selatan.
Daya usaha sempena Hari Migran Antarabangsa pada 18 Disember, bertujuan membantu penumpang memahami dan menghargai masyarakat migran di sini dengan lebih baik.
Penumpang juga boleh mengimbas kod respons pantas (QR) dan mereka boleh meninggalkan mesej memberangsangkan untuk pekerja migran di sini.
Projek itu merupakan kerjasama antara Kumpulan Jaminan, Penjagaan dan Penglibatan (ACE) Kementerian Tenaga Manusia (MOM), perusahaan sosial, Holdinghands Studio, dengan SMRT Trains.
Apabila ditanya bagaimana perasaannya melihat gambarnya di tren, Encik Basir berkata:
“Ia sesuatu yang luar biasa dan sangat mengujakan.
“Saya tidak pernah menjangka perkara ini akan berlaku dalam hidup saya.”
Buat masa ini, Encik Basir berkata waktu yang diluangkan untuk memancing berkurang sedikit kerana beliau sedang memburu diploma lanjutan dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan elektrik sebagai pelajar sambilan.
Sepanjang berada di Singapura, beliau telah bekerja di bangunan seperti pusat beli-belah Scotts Square di Scotts Road.
Seorang lagi pekerja migran yang dipaparkan dalam tren tersebut ialah Cik Quijano Ruby Ledesma, seorang pembantu rumah dari Filipina yang gemar mendaki.
Cik Ledesma, yang tiba di Singapura sembilan tahun lalu, mempunyai kumpulan WhatsApp dengan 218 ahli yang dikenali sebagai ‘Ruby and friends’.
Melaluinya, beliau mengatur kegiatan mendaki dan ‘trekking’ di dalam dan luar negara.
Ketika menyambut ulang tahun ke-44 pada 2024, Cik Ledesma mendaki Gunung Rinjani setinggi 3,726 meter di Indonesia bersama lapan yang lain.
Beliau menganggap perjalanan tiga hari itu sebagai pendakian paling bermakna pada 2024 apabila rakan-rakannya menyambut hari lahirnya di puncak gunung dengan kek.
“Tahun depan (2025), saya ingin mula mendaki di negara saya sendiri dan mendaki Gunung Tahan di Malaysia, yang mengambil masa empat hari,” kata Cik Ledesma.
Berucap semasa pelancaran tren konsep tersebut pada 9 Disember, Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, berkata daya usaha itu adalah satu cara “mengingatkan kita semua di Singapura bahawa pekerja migran... adalah sebahagian penting daripada ekonomi dan masyarakat kita”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg