Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tren NEL kembali operasi susulan gangguan 3 jam disebabkan kerosakan tenaga

Aug 12, 2025 | 4:13 PM
MRT rosak, NEL, gangguan 3 jam, kerosakan kuasa
Gangguan perkhidmatan kereta api di Laluan Timur Laut (NEL) menjejas 11 stesen dari Farrer Park hingga Punggol Coast. - Foto ST

Perkhidmatan kereta api di Laluan Timur Laut (NEL) telah disambung semula selepas mengalami gangguan selama tiga jam disebabkan kerosakan tenaga utama pada 12 Ogos.

Gangguan tersebut turut menjejas keseluruhan Laluan LRT Sengkang-Punggol (SPLRT), dengan perkhidmatan LRT Sengkang kembali beroperasi pada 3.34 petang.

Namun pengendali rel SBS Transit pada 5.20 petang memaklumkan bahawa SPLRT akan beroperasi dengan hanya satu landasan bagi setiap arah sepanjang waktu sibuk petang sehingga sekitar 9 malam.

“Sila maklum bahawa perkhidmatan kereta api akan tiba kira-kira setiap lima minit,” tambah pengendali rel tersebut.

Pada sekitar 6.15 petang, The Straits Times (ST) melihat barisan panjang terbentuk di platform Stesen LRT Punggol, dengan kakitangan SBS Transit sedang membantu dan memberi panduan kepada penumpang untuk menggunakan perkhidmatan bas penyambung percuma.

Penumpang LRT boleh menaiki bas percuma di perhentian yang ditetapkan di stesen-stesen SPLRT. 

Perkhidmatan bas percuma serupa di sepanjang NEL telah dihentikan selepas perkhidmatan kereta api di sana disambung semula.

Gangguan pada NEL bermula sekitar 11 pagi dan menjejas perkhidmatan kereta api di 11 stesen antara Farrer Park dengan Punggol Coast, kata Ketua Eksekutif Kumpulan SBS Transit, Encik Jeffrey Sim, dalam hantaran Facebook pada sekitar 3 petang, 12 Ogos.

Perkhidmatan antara Farrer Park dengan Buangkok disambung semula pada 12.50 tengah hari, dan NEL kembali beroperasi sepenuhnya pada 2.10 petang.

Apabila dihubungi, SBS Transit merujuk kepada hantaran media sosial yang mengandungi kenyataan Encik Sim.

Dalam hantaran itu, Encik Sim memaklumkan bahawa perkhidmatan bas percuma dan bas biasa disediakan di stesen terjejas serta beberapa pusat pertukaran bas terpilih sepanjang tempoh gangguan. 

Beliau turut menambah bahawa pasukan khidmat penumpang SBS Transit turut berada di stesen terjejas bagi membantu dan memberi panduan kepada penumpang.

“Kami memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas atas kesulitan yang dialami. Kami mengambil perkara ini dengan sangat serius dan sedang menyiasat punca kejadian,” kata Encik Sim.

Pengendali rel itu telah mengumumkan gangguan MRT tersebut di rangkaian sosial X pada 11.17 pagi dan sepanjang gangguan tersebut, mereka berkongsi maklumat mengenai laluan alternatif untuk penumpang di media sosial.

Apabila ST tiba di stesen MRT Serangoon sekitar 11.50 pagi, bekalan kuasa di sebelah NEL kelihatan terputus, meskipun lampu masih menyala.

Kereta api yang bergerak ke kedua-dua arah NEL juga masih berada di platform.

Kakitangan SBS Transit dilihat sedang memberi panduan kepada penumpang menuju ke aras jalan, dan mereka boleh mengambil perkhidmatan bas penyambung percuma.

Di salah satu perhentian bas di stesen MRT Serangoon yang menyediakan bas penyambung ke arah Punggol Coast, barisan lebih 50 penumpang telah terbentuk sekitar 12.35 tengah hari yang berpanjangan sehingga ke pintu masuk pusat beli-belah NEX.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg