Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrend warga S’pura ikut pakej cuti M’sia: Agensi tempatan akur saingan
Trend warga S’pura ikut pakej cuti M’sia: Agensi tempatan akur saingan
Agensi S’pura usaha pertingkat mutu, teroka kerjasama dengan agensi M’sia
Trend warga S’pura ikut pakej cuti M’sia: Agensi tempatan akur saingan
Walau akur bahawa persaingan semakin sengit dalam industri pelancongan dengan lebih ramai warga Singapura memilih untuk ke luar negara menggunakan agensi Malaysia, agensi tempatan percaya pasaran yang kukuh masih wujud di negara ini.
Malah, mereka yang dihubungi Berita Minggu (BM) menekankan bahawa tawaran yang kekal unik bagi pelanggan yang memilih pakej bersama agensi tempatan ialah kemudahan, kebolehpercayaan, dan jaminan daripada segi penyelesaian masalah.
Walaupun harga menjadi faktor besar yang menarik pelanggan Singapura untuk memilih pakej bersama agensi Malaysia, masih terdapat segolongan penduduk yang lebih cenderung memilih agensi Singapura.
Pengurus Besar Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid, berkata memang tidak boleh dinafikan bahawa agensi Singapura akan terjejas memandangkan nilai pertukaran mata wang Malaysia yang lebih rendah.
Bagaimanapun, beliau tidak melihat hal demikian menjejaskan tarikan kliennya.
“Selalunya mereka yang sudah berumur atau mungkin sudah bersara tidak begitu mengambil kira tentang kos tersebut.
“Mereka menjadi pelanggan setia kami kerana sudah percaya dan terbiasa dengan perkhidmatan yang kami tawarkan,” ujarnya.
Seiring dengan itu, pengarah urusan syarikat pelancongan Dreamcation Cruises & Tours, Encik Sujimy Mohamad, berkata syarikatnya terus menerima sokongan kukuh daripada pelanggan setia mereka sepanjang tahun-tahun ini.
Pada masa yang sama, terdapat peningkatan bilangan pelanggan baru yang mencari pengalaman melebihi destinasi tradisional, iaitu destinasi yang kurang diterokai dan unik.
Mengapa pakej dari Singapura lebih mahal?
Encik Haffidz berkata pelanggan perlu memahami mengapa pakej yang ditawarkan oleh agensi Singapura lazimnya dilihat sebagai lebih mahal.
Pertama, saiz Malaysia yang jauh lebih besar daripada Singapura bermakna pasaran mereka jauh lebih luas, justeru kos operasi menjadi lebih rendah.
Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga lebih murah bagi destinasi tertentu jika dibandingkan dengan penerbangan dari Lapangan Terbang Changi.
Justeru, kebanyakan pakej dari Malaysia, katanya, dilihat sebagai ‘lebih murah’ memandangkan penerbangan berlepas dari Kuala Lumpur.
“Jadi apabila anda membuat penilaian, anda perlu mengambil kira perjalanan ke Kuala Lumpur, dan sama ada penjimatan itu berbaloi,” katanya, yang memerhati bahawa golongan muda atau pengembara lasak sanggup berbuat demikian.
Bagaimanapun, beliau akur bahawa dengan dunia yang semakin terhubung serta sikap pelancong yang kian berubah, perkara sebegini semakin tidak boleh dielakkan.
Lantas, pilihan sebenarnya bergantung kepada cita rasa pelancong masing-masing.
Dalam usaha menangani isu ini, syarikatnya akan terus mempertingkat mutu perkhidmatan yang ditawarkan.
“Kami juga mungkin meneroka idea untuk bekerjasama dengan agensi Malaysia atau warga Malaysia, tetapi kami perlu berhati-hati bagi memastikan ejen tersebut benar-benar bermutu dan boleh dipercayai,” ujarnya.
Pengarah Travelconnect.sg, Ustaz Nafis Rahman, pula melihat persaingan sengit ini sebagai satu persaingan yang sihat kerana ia mendorong agensi pelancongan tempatan untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan dan nilai yang ditawarkan kepada pelanggan.
Ustaz Nafis berkata mereka mendapati pelanggan hari ini lebih peka terhadap harga dan lebih rajin membuat perbandingan antara pelbagai agensi, termasuk agensi dari luar negara.
Bagaimanapun, walaupun faktor kos masih penting, unsur kepercayaan, keserasian dan ketenangan fikiran terus menjadi pertimbangan utama bagi ramai pelanggan.
“Kelebihan utama kami adalah perkhidmatan yang lebih dekat dengan pelanggan Singapura. Kami memahami keperluan dan jangkaan mereka.
“Selain itu, pelanggan mempunyai akses yang lebih mudah kepada kami sekiranya memerlukan bantuan atau penyelesaian terhadap sebarang isu yang timbul.
“Walaupun terdapat peningkatan kos daripada pihak operator, kami berusaha menyerap sebahagian daripada kos tersebut supaya pelanggan dapat terus menikmati perjalanan mereka tanpa bebanan tambahan yang ketara,” jelasnya.
Sementara itu, Encik Sujimy pula berkata bahawa kelebihan jualan utama bagi syarikatnya berbanding agensi Malaysia ialah mereka benar-benar memahami cita rasa pelancong Singapura.
“Sementara pelancong dari negara jiran mungkin mempunyai kecenderungan yang serupa, keluarga Singapura selalunya mempunyai jangkaan khusus apabila ia berkaitan dengan piawaian hotel, keselesaan, kebersihan, mutu makanan, rentak perjalanan dan pengalaman keseluruhan.
“Memandangkan kami berpangkalan di Singapura dan memberi khidmat kepada warga Singapura setiap hari, kami dapat melakar jadual perjalanan yang memenuhi jangkaan tersebut.
“Kami benar-benar memberikan perhatian kepada butiran seperti mutu penginapan, pengalaman menjamu selera, kemudahan, tahap mesra keluarga dan keperluan mesra Muslim untuk memastikan pelanggan kami menikmati percutian yang selesa dan tidak boleh dilupakan,” katanya.
Pelanggan digesa berhati-hati
Sedar bahawa sebilangan warga Singapura cenderung memilh pakej tawaran agensi Malaysia, agensi tempatan menasihati agar pelancong berhati-hati sebelum membuat keputusan.
Ustaz Nafis berkata semakan dan kajian sewajarnya perlu dilakukan dan bukan berdasarkan harga semata-mata.
“Apa yang penting bukan sekadar harga pakej, malah sokongan yang akan diterima jika berlaku perkara yang tidak dijangka.
“Anda perlu tahu siapa yang boleh dihubungi, bagaimana masalah akan diselesaikan, apakah ada persediaan jika berlakunya kemalangan ataupun kematian ketika dalam perjalanan dan sejauh mana agensi tersebut mampu membantu mereka sepanjang perjalanan,” katanya.
Menjawab pertanyaan BM, jurucakap Lembaga Pelancongan Singapura (STB) berkata pelancong harus mempertimbangkan dengan teliti pelbagai pilihan yang tersedia semasa merancang perjalanan mereka.
“Mereka yang memilih untuk menempah melalui ejen pelancongan digalakkan untuk menggunakan ejen pelancongan berlesen di Singapura kerana ini menyediakan akses kepada perlindungan pengguna dan tindakan undang-undang yang tersedia di bawah undang-undang Singapura.
“Tempahan perjalanan yang dibuat dengan ejen pelancongan asing adalah di luar bidang kuasa undang-undang Singapura,” katanya.
Jurucakap itu menambah bahawa pengguna juga dinasihatkan untuk menyelidik reputasi ejen pelancongan mereka, memahami syarat pembayaran, berhati-hati dengan kaedah pembayaran yang di luar kebiasaan dan membeli insurans perjalanan menyeluruh yang meliputi kegiatan yang bakal dijalankan.
Untuk senarai terkini ejen pelancongan berlesen di Singapura, pengunjung boleh melungsuri laman web Sistem Pelesenan Ejen Pelancongan dan Pemandu Pelancong ‘TRUST’ di https://trust.stb.gov.sg.
