WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah mencalonkan usahawan, Dr Anji Sinha, sebagai Duta Besar Amerika ke Singapura.
Encik Trump mengumumkan Dr Sinha sebagai Duta Besar Amerika ke Singapura dalam hantaran di platform media sosial, Truth Social, pada 11 Mac.
Beliau malahan memuji Dr Sinha sebagai usahawan dihormati dan yakin pilihannya itu dapat mewakili kepentingan Amerika dengan baik.
Dr Sinha kurang dikenali dan tidak mempunyai kehadiran di laman web atau media sosial.
Kebanyakan pengamat di Washington DC, berkata mereka tidak pernah mendengar tentang calon pilihan Encik Trump, lapor The Straits Times (ST).
ST telah menghubungi kedutaan Amerika di Singapura dan Jabatan Negara Amerika untuk maklumat lanjut.
Calon lain bagi jawatan diplomatik utama di Asia termasuk mantan senator Georgia, Encik David Perdue, sebagai Duta ke China, dan ahli perniagaan Oregon, Encik George Glass, sebagai Duta ke Jepun.
Semua pencalonan, termasuk Dr Sinha, perlu mendapat pengesahan Senat.
Walaupun calon Kabinet Encik Trump cepat disahkan dalam Kongres yang dikuasai Republikan, proses bagi jawatan duta mungkin tidak semudah itu.
Senator Brian Schatz, seorang Demokrat dari Hawaii yang menganggotai Jawatankuasa Hubungan Luar Senat, berikrar untuk menahan semua pencalonan Jabatan Negara sehingga Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (Usaid) dikembalikan sebagai agensi bebas.
Calon duta memerlukan majoriti mudah dalam Senat yang mempunyai 100 anggota, dan Republikan menguasai 53 kerusi.
Walaupun Demokrat tidak boleh menolak pencalonan Encik Trump secara langsung, mereka boleh melambatkan prosesnya.
Mantan Duta Besar Amerika ke Singapura (2001-2005), Encik Frank Lavin, yang membantu merundingkan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika-Singapura, berkata beliau gembira Encik Trump mengambil langkah mengisi jawatan itu.
“Hubungan Amerika-Singapura sangat penting bagi kededua negara, dan Washington perlu memilih individu yang tepat.
“Saya yakin Presiden telah membuat pilihan yang bijak dan berharap proses pengesahan berjalan lancar,” katanya kepada ST.
Semasa penggal pertama Encik Trump, jawatan Duta Besar Amerika ke Singapura dibiarkan kosong.
Beliau pada mulanya mencalonkan Cik K. T. McFarland pada Mei 2017, namun pencalonannya tertangguh dan menghadapi kontroversi berkaitan siasatan Russia, menyebabkan beliau menarik diri pada Februari 2018.
Sepanjang tempoh itu, Cik Stephanie Syptak-Ramnath dan Encik Rafik Mansour, berkhidmat sebagai chargés d’affaires ad interim (seseorang yang memangku tugasan duta buat sementara waktu apabila tiada yang mengisi tugas duta itu), mewakili Amerika di Singapura, tanpa duta rasmi.
“Ini petanda baik Singapura menerima calon begitu awal, terutamanya selepas banyak jawatan di rantau ini dibiarkan kosong semasa penggal pertama Encik Trump,” kata Encik Greg Poling daripada Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg