SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Selat Hormuz disekat, perbincangan damai masih rapuh

Selat Hormuz disekat, perbincangan damai masih rapuh

Iran ubah pendirian selepas tuduh Washington langgar perjanjian gencatan senjata
Apr 19, 2026 | 2:29 PM

Selat Hormuz disekat, perbincangan damai masih rapuh

Ratusan kapal dan kira-kira 20,000 pelaut kekal terkandas di Teluk menunggu laluan melalui Selat Hormuz, kata sumber perkapalan.
Ratusan kapal dan kira-kira 20,000 pelaut kekal terkandas di Teluk menunggu laluan melalui Selat Hormuz, kata sumber perkapalan. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Khidmat perkapalan menerusi Selat Hormuz tidak berganjak pada 19 April selepas Iran mengenakan kawalan ke atas laluan strategik itu, yang merupakan kunci utama bekalan tenaga sedunia.

Ini sedang tempoh gencatan senjata yang rapuh dengan Amerika Syarikat dijadualkan berakhir pada 22 April.

Perunding utama Iran berkata rundingan baru-baru ini dengan Amerika telah mencapai kemajuan tetapi jurang berhubung isu nuklear dan Selat Hormuz masih luas.

Sementara itu, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, memetik “perbualan yang amat baik” dengan Teheran, walaupun memberi amaran terhadap “peras ugut” berhubung saluran perkapalan utama.

Kedua-dua pihak tidak menawarkan sebarang butiran mengenai keadaan rundingan pada 18 April, dengan ketua perunding Iran, Encik Mohammad Baqer Qalibaf, berkata jurang pendapat kededua pihak mengenai nuklear dan Selat Hormuz masih luas.

Pada 18 April, Iran, yang sebelum ini mengumumkan bahawa ia akan membenarkan khidmat perkapalan untuk melalui Selat Hormuz, telah mengubah pendirian, selepas ia menuduh Washington melanggar perjanjian gencatan senjata dengan kekal menyekat pelabuhan Iran.

Selepas dua kapal berdaftar India dilaporkan diserang pada 18 April ketika cuba melalui selat itu, data perkapalan menunjukkan trafik melalui laluan air yang sempit itu telah terhenti awal pada 19 April.

Sebuah kapal tangki milik China dan sebuah kapal pengangkut gas milik India dilihat melintas ke arah timur pada awal pagi 19 April.

Tetapi mereka kelihatan telah berpatah balik dan tiada kapal lain memasuki atau meninggalkan Teluk selepas tengah malam, menurut data penjejakan kapal, MarineTraffic.

Perang itu, yang kini masuk minggu kelapan, telah membunuh ribuan orang, merebak kepada serangan Israel di Lebanon dan menyebabkan harga minyak melonjak kerana penutupan selat itu, yang membawa satu perlima daripada penghantaran minyak dunia sebelum perang.

“Kami mempunyai kemajuan tetapi masih ada jarak yang jauh antara kami,” Encik Mohammad Baqer, memberitahu media pemerintah, merujuk kepada perbincangan hujung minggu lalu.

“Terdapat beberapa isu yang kami tegaskan... Mereka juga mempunyai garis merah. Tetapi isu ini mungkin hanya satu atau dua.”

Encik Trump berkata Amerika sedang mengadakan “perbualan yang amat baik”, tetapi tidak memberikan butiran lain.

Iran berkata ia bertindak balas terhadap sekatan berterusan Amerika ke atas pelabuhan Iran, menyebutnya sebagai pelanggaran gencatan senjata, manakala Pemimpin Tertinggi, Encik Mojtaba Khamenei, berkata tentera laut Iran bersedia untuk mengenakan “kekalahan teruk yang baaru” ke atas musuh-musuhnya.

Encik Trump menggelar langkah itu sebagai “peras ugut” walaupun beliau memuji perbincangan yang berjalan.

Pada 17 April, Iran telah mengumumkan pembukaan semula sementara Selat Hormuz berikutan perjanjian gencatan senjata 10 hari yang ditengahi Amerika pada 16 April antara Israel dengan Lubnan.

Encik Trump mempertahankan sekatan Amerika dan mengancam “untuk mula menjatuhkan bom lagi” melainkan negara-negara itu mencapai perjanjian jangka panjang sebelum gencatan senjata tamat pada 22 April.

Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran berkata kawalan Teheran ke atas selat itu termasuk menuntut pembayaran kos berkaitan keselamatan dan perkhidmatan perlindungan alam sekitar, kata media kerajaan.

Kebimbangan kekal selepas sekurang-kurangnya dua kapal dilaporkan diserang pada 19 April ketika cuba melalui di laluan air tersebut.

India memanggil duta Iran di New Delhi dan melahirkan kebimbangan mendalam bahawa dua kapal berbendera India telah diserang di selat itu.

Komando Pusat Amerika berkata tenteranya menguatkuasakan sekatan maritim ke atas Iran, tetapi tidak mengulas mengenai tindakan terbaru Iran.

Langkah Teheran bertukar pendirian menimbulkan risiko bahawa penghantaran minyak dan gas melalui selat itu boleh kekal terganggu sedang Encik Trump mempertimbangkan sama ada untuk melanjutkan gencatan senjata. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg