Hospital Tan Tock Seng (TTSH) anggap dakwaan mengenai seorang pekerja penjagaan kesihatan dan merupakan kakitangan hospital itu, yang baru meninggal dunia kemungkinan akibat keletihan dan tekanan berkaitan kerja, sebagai tidak tepat.
Dakwaan itu dicatat dalam Facebook oleh setiausaha agung parti politik Red Dot United, Encik Ravi Philemon pada 26 Januari lalu.
Namun dalam satu catatan Facebook TTSH pada 31 Januari, hospital itu berkata catatan Encik Philemon itu “tidak tepat”.
Ia seterusnya menambah bahawa ahli politik itu tidak diminta atau diberi kebenaran oleh keluarga mendiang untuk membangkitkan isu itu secara terbuka.
“Kami telah berkomunikasi dengan Encik Ravi Philemon pada 22 Januari 2025, untuk menjelaskan bahawa situasi itu bukanlah seperti yang beliau fikirkan, tetapi amat dikesalkan bahawa beliau telah meneruskan dengan catatannya sendiri yang salah berkaitan situasi itu dan kemudian menyiarkannya kepada awam mengenai perkara itu,“ kata pihak hospital.
“Kami menggesa semua untuk mengelak daripada berkongsi maklumat yang tidak disahkan yang boleh menyebabkan kesusahan yang tidak perlu kepada keluarga, rakan dan rakan sekerjanya semasa tempoh kesedihan ini.”
Catatan yang dipertikaikan itu telah dimuat naik di Facebook pada 26 Januari oleh Encik Philemon, dalam satu catatan dengan kapsyen “Jangan letakkan profesional penjagaan kesihatan di bawah tekanan yang tidak wajar”.
Encik Philemon berkata bahawa seorang penduduk telah berkongsi kejadian itu dengannya, mengenai seorang pekerja penjagaan kesihatan berusia 34 tahun yang baru menyertai kerjaya tersebut itu melalui Program Penukaran Profesional.
Beliau dikatakan rebah di dewan bedah “kerana keletihan yang teruk”.
Meskipun beliau dikatakan pada mulanya diberikan cuti sakit selama tiga hari, beliau dikatakan telah meminta melanjutkan tempoh itu, tetapi didakwa permintaannya itu ditolak.
Pekerja penjagaan kesihatan itu dikatakan meninggal dunia sejurus selepas kembali bekerja, yang menurut Encik Philemon kemungkinan disebabkan oleh “keletihan dan tekanan berkaitan kerja”.
Encik Philemon juga berkongsi bahawa beliau telah menghubungi TTSH untuk bertanya tentang tuntutan itu, dan mereka memberitahunya beberapa butiran yang pada awalnya dikongsi dengannya adalah tidak tepat.
Hospital tersebut tidak memberikan butiran lanjut, memetik akan keperluan menghormati privasi mendiang dan keluarganya, ujar Encik Philemon.
“Saya menghargai respons pantas mereka dan inisiatif ini. Namun begitu, insiden tragis ini bertindak sebagai peringatan yang kukuh tentang keletihan manusia dan terlalu banyak bekerja dalam kerjaya dengan tekanan tinggi,” tambah Encik Philemon.
Encik Philemon kemudian meminta Kementerian Kesihatan (MOH) dan institusi penjagaan kesihatan untuk mengurangkan tekanan yang berlebihan pada kakitangan penjagaan kesihatan serta meningkatkan pemantauan kesejahteraan kakitangan.
TTSH dalam catatannya pula berkata bahawa pihaknya meletakkan keutamaan tertinggi pada kesejahteraan dan kesihatan semua kakitangannya, serta menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan menyokong.
Hospital itu turut melahirkan “rasa dukacita atas kehilangan rakan sekerja dan rakan kami itu, dan turut berdukacita bersama keluarga dan rakan lain atas pemergiannya”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg