Loji kuasa gas asli dengan keupayaan hidrogen, yang akan dibina oleh pengeluar elektrik tempatan Tuas Power, dijangka mula beroperasi pada 2031.

Kemudahan Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) berkapasiti 670 megawatt (MW) di Loji Kuasa Tuas ini mampu membekalkan tenaga kepada kira-kira 1.2 juta flat empat bilik setahun

Loji tersebut boleh membakar sehingga 30 peratus hidrogen – bahan api yang lebih bersih – manakala selebihnya menggunakan gas asli untuk menjana elektrik.

Ia juga boleh menggunakan diesel sebagai bahan api sandaran apabila diperlukan.

Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) pada 20 Ogos mengumumkan Tuas Power diberi hak untuk membina, memiliki dan mengendalikan unit penjanaan CCGT baharu.

Keputusan itu dibuat selepas EMA pada April menyeru syarikat tenaga supaya membina sehingga tiga loji jana kuasa dengan keupayaan hidrogen pada 2031 dan 2032, bagi membantu memenuhi keperluan elektrik Singapura pada masa hadapan.

Dengan pemberian kontrak itu, sekurang-kurangnya 11 loji kuasa gas asli dengan keupayaan hidrogen akan beroperasi di Singapura menjelang 2032, termasuk empat loji yang siap pada 2025.

Menurut Tuas Power pada 20 Ogos, loji baharu itu akan membantu memenuhi permintaan elektrik Singapura yang kian meningkat, serta menggantikan loji kuasa lama yang akan dihentikan secara berperingkat dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Loji baharu itu dijangka mula beroperasi pada Disember 2031. 

Mulai 2024, semua loji kuasa gas asli baharu atau yang dinaik taraf perlu 10 peratus lebih cekap dan mampu menggunakan sekurang-kurangnya 30 peratus hidrogen apabila bahan api rendah karbon itu tersedia secara meluas pada masa hadapan. 

Hidrogen dianggap sebagai bahan api bersih kerana ia tidak menghasilkan karbon dioksida apabila dibakar.

Dalam satu kenyataan, EMA berkata, permintaan elektrik Singapura dijangka meningkat dengan pesat dalam beberapa tahun akan datang.

Ia didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh, penggunaan kenderaan elektrik yang kian meluas, serta perkembangan industri yang menggunakan banyak tenaga, seperti perkilangan semikonduktor dan pusat data. 

EMA meramalkan permintaan elektrik puncak Singapura dijangka meningkat antara 2.4 dengan 4.8 peratus setahun dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Permintaan puncak merujuk kepada jumlah elektrik tertinggi yang digunakan dalam sesuatu tempoh, sama seperti “waktu sibuk” bagi penggunaan tenaga elektrik.

Menjelang 2031, permintaan puncak dijangka mencapai antara 9.6 dengan 1.4 gigawatt.

Permintaan puncak Singapura pada 2025 adalah sekitar 8 gigawatt.

Seruan untuk membina loji kuasa baharu pada April dibuat selepas empat unit kuasa sandaran siap pada 2025.

Juga dikenali sebagai loji fast-start, unit itu direka untuk mula beroperasi dalam masa beberapa minit sekiranya berlaku kekurangan bekalan elektrik secara tiba-tiba.

Peruncit elektrik PacificLight Power menyiapkan dua unit jana kuasa sandaran berkapasiti 50MW setiap satu pada Jun 2025; manakala anak syarikat EMA, Meranti Power, melancarkan dua unit fast-start berkapasiti 340MW setiap satu pada Oktober 2025.

Keppel melancarkan loji sedia hidrogen berkapasiti 600MW pada Mei, manakala Sembcorp dijangka melancarkan loji sedia hidrogen berkapasiti 600MW pada 2026.

YTL PowerSeraya dijadualkan membina loji sedia hidrogen berkapasiti 600MW menjelang 2027, diikuti kemudahan PacificLight Power berkapasiti 670MW yang dijadual siap pada 2029.