Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura lulus import tenaga solar bersyarat dari M’sia
Sembcorp Utilities, Southern Solar Alliance terima kelulusan bersyarat import 900 megawatt elektrik
Singapura mungkin dapat mengimport tenaga solar dari Malaysia dalam usahanya mendapatkan tenaga bersih berikutan dua syarikat menerima kelulusan bersyarat untuk mengimport sejumlah 900 megawatt (MW) elektrik.
Projek itu akan membekalkan elektrik yang dijana daripada sistem tenaga solar dan sistem penyimpanan tenaga bateri di Johor, menurut Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) pada 7 Ogos.
Bateri itu akan menyimpan elektrik yang dijana tenaga solar.
Kerjasama terbaru itu menjadikan jumlah projek import elektrik yang menerima kelulusan dan lesen meningkat kepada 13, dengan jumlah bekalan sebanyak 9.25 gigawatt (GW).
Projek berkenaan melibatkan tenaga solar, angin dan hidro dari Malaysia, Indonesia, Kemboja, Vietnam dan Australia.
Singapura menyasarkan untuk mengimport sekitar 6GW elektrik menjelang 2035, iaitu hampir satu pertiga keperluan tenaganya pada ketika itu.
Kelulusan diberikan kepada Sembcorp Utilities bagi cadangan bekalan sebanyak 300MW, dan Southern Solar Alliance, anak syarikat milik penuh syarikat pemaju Malaysia, Ditrolic Energy Holdings, bagi cadangan bekalan 600MW.
Menurut EMA, kedua-dua syarikat itu menyasarkan untuk memulakan operasi komersial sekitar 2029.
Mereka perlu memperoleh semua kelulusan diperlukan daripada pihak berkuasa berkaitan, memuktamadkan perjanjian pembelian tenaga dengan pembeli, mendapatkan pembiayaan mencukupi serta memenuhi pelbagai pencapaian pembangunan projek sebelum projek itu dapat dimulakan.
Sebuah syarikat perlu melalui tiga peringkat sebelum diberikan lesen import elektrik oleh EMA.
Peringkat pertama melibatkan syarikat memperoleh “kelulusan bersyarat” daripada EMA, yang bermaksud pengawal selia itu mendapati cadangan projek tersebut sesuai dari segi teknikal dan komersial.
Syarikat itu kemudian akan menjalankan tinjauan lanjut serta mengkaji sama ada projek itu boleh dilaksanakan.
Jika syarikat itu dapat membuktikan keupayaannya memenuhi keperluan Malaysia dan Singapura, EMA akan memberikan lesen bersyarat.
Pada peringkat ini, projek tersebut akan berada pada tahap pembangunan lebih lanjut.
Peringkat ketiga dan terakhir ialah apabila EMA memberikan lesen kepada pengimport.
EMA berkata kelulusan itu mengukuhkan kerjasama tenaga dua hala antara Singapura dan Malaysia.
Pada Oktober 2025, Singapura memberikan kelulusan bersyarat untuk mengimport 1GW elektrik rendah karbon, terutamanya dalam bentuk tenaga hidro, dari Sarawak ke Singapura.
Singapore Energy Interconnections, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan SP Group turut menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama untuk menilai sepenuhnya sama ada satu lagi sambungan grid elektrik sehingga 2GW antara Singapura dengan Semenanjung Malaysia boleh dilaksanakan.
Sambungan semasa membolehkan aliran elektrik dua hala sehingga 1GW.
Import elektrik rendah karbon merupakan tonggak utama strategi Singapura untuk mengurangkan pelepasan karbon sektor tenaga elektrik, yang menyumbang 40 peratus jumlah keseluruhan pelepasan karbon negara itu, menurut EMA.
EMA akan terus bekerjasama dengan syarikat yang mempunyai cadangan import yang kukuh dan sesuai dari segi komersial, serta mampu membantu mengurangkan pelepasan karbon sektor tenaga elektrik.
