Topik diikuti
Pergi ke BHkuTuas Power teroka import tenaga hidroelektrik hingga 500 MW setahun dari Laos
Tuas Power teroka import tenaga hidroelektrik hingga 500 MW setahun dari Laos
Singapura mungkin meningkatkan import tenaga hidroelektrik jangka panjang dari Laos menerusi perjanjian melibatkan syarikat penjanaan elektrik Singapura, Tuas Power; pengendali elektrik milik pemerintah Laos, Electricite du Laos (EDL); dan Phongsupthavy Group (PSTG), pembangun swasta projek penjanaan tenaga boleh diperbaharui.
Di bawah aturan jangka panjang yang dicadangkan, Tuas Power akan mengimport 100 megawatt (MW) tenaga hidroelektrik dari Laos pada tahun pertama kontrak.
Jumlah itu akan meningkat kepada 300 MW pada tahun kedua dan 500 MW setahun selepas itu, bagi tempoh kontrak antara lima hingga 15 tahun.
Tuas Power, anak syarikat China Huaneng Group milik pemerintah China, menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan EDL dan PSTG pada Jumaat, 30 Oktober bagi meneroka aturan pembekalan elektrik itu.
MOU tersebut dimeterai di sisi acara Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura.
Ketua Pegawai Operasi (COO) Tuas Power, Encik Michael Wong, berkata kerjasama yang dicadangkan dengan EDL dan PSTG itu “menyokong pelan jangka panjang kami untuk membantu pelanggan mengurangkan pelepasan karbon serta peralihan tenaga serantau yang mampan ke arah masa depan dengan pelepasan karbon sifar bersih”.
Tenaga hidroelektrik yang dibekalkan EDL dan PSTG boleh ditawarkan bersama Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC), dengan pilihan kepada pelanggan untuk membeli kedua-duanya dalam satu pakej.
REC merupakan sijil berasaskan pasaran bagi mengimbangi penggunaan elektrik daripada bahan api fosil.
“Kami harap dapat bekerjasama dengan Tuas Power... bagi meneroka bagaimana sumber tenaga hidroelektrik kami dapat memenuhi permintaan tenaga bersih yang semakin meningkat di Singapura,” kata Pengerusi PSTG, Encik Phongsavath Senaphuan.
“Kami sedar bekalan tenaga hidroelektrik bergantung pada musim dan akan berusaha menyediakan corak bekalan yang telus serta mampu dipenuhi sekiranya aturan ini diteruskan.”
Kerjasama itu membolehkan tenaga hidroelektrik dari Laos “menyumbang kepada penggabungan tenaga bersih serantau di bawah wawasan Grid Kuasa Asean”, kata Encik Wong, merujuk kepada rancangan menghubungkan rangkaian elektrik nasional negara-negara Asia Tenggara yang sedang dilaksanakan.
Pengarah Urusan EDL, Encik Souksavart Sosouphanh, berkata “perdagangan elektrik serantau di Asean mencatat kemajuan baik sejak beberapa tahun lalu”.
“Kami berharap dapat bekerjasama meneliti bagaimana sumber tenaga hidroelektrik Republik Demokratik Rakyat Laos dapat membantu memenuhi keperluan tenaga serantau.”
Permintaan elektrik puncak Singapura kini sekitar 8.6 gigawatt (GW), atau 8,600 MW, dan dijangka boleh meningkat kepada 13 GW menjelang 2031, menurut Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).