Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tujuh individu, termasuk remaja perempuan mabuk, diberkas di Rochor, Little India

Sep 12, 2025 | 4:45 PM
Hampir 100 individu diperiksa di 18 premis hiburan awam di kawasan Rochor Canal Road dan Little India semasa satu operasi penguatkuasaan SPF pada awal pagi  12 September.
Hampir 100 individu diperiksa di 18 premis hiburan awam di kawasan Rochor Canal Road dan Little India semasa satu operasi penguatkuasaan SPF pada awal pagi 12 September. - Foto TM

Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun telah diberkas kerana menggunakan maklumat peribadi yang dipalsukan dan didapati mabuk di tempat awam dalam satu operasi penguatkuasaan Pasukan Polis Singapura (SPF).

Operasi yang diketuai Cawangan Kongsi Gelap Jabatan Siasatan Jenayah (CID) itu turut menyaksikan empat lelaki disyaki anggota kongsi gelap diberkas.

Dalam operasi yang turut disertai Berita Harian (BH) itu, hampir 100 individu diperiksa di 18 premis hiburan awam di kawasan Rochor Canal Road dan Little India pada awal pagi 12 September.

Menurut SPF, operasi itu adalah sebahagian daripada usaha mempertingkat penguatkuasaan terhadap kegiatan kongsi gelap.

Keempat-empat lelaki tersebut berusia antara 24 dengan 44 tahun.

Salah seorang suspek dilihat cuba melawan, namun akhirnya dibawa keluar dari premis sekitar 12.30 pagi.

BH difahamkan dua daripada suspek itu diberkas di tempat sama di mana empat lelaki lain sebelum ini dipercayai telah menyerang dua mangsa lelaki lain dengan senjata pada 7 September.

Mangsa berusia 16 dan 26 tahun itu mengalami luka tikaman di bahagian lengan dan belakang.

Suspek yang diberkas dalam kejadian 7 September itu telah dikenal pasti sebagai Muhammad Nuraqib Minhat, 32 tahun, dan Muhammad Fiqkri Jaffri, 31 tahun.

Dua lagi tertuduh ialah Muhammad Farhan Jaffri, 31 tahun, dan Muhammad Farzdhirman Yusman, 32 tahun.

Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa mengenali penyerang mereka.

Keempat-empat lelaki itu telah diarahkan supaya direman di Divisyen Polis Central.

Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta hukuman sebatan.

Sebelum ini, seramai 11 individu yang disyaki anggota kongsi gelap, berusia antara 19 dengan 61 tahun, turut ditahan selepas pemeriksaan di lebih 40 pusat hiburan awam, premis hiburan malam, dan kedai makan pada 29 dan 30 November 2024.

Operasi itu turut disokong oleh tiga divisyen polis, kata SPF.

Secara kesuluruhan, sekitar 100 orang telah diperiksa sepanjang operasi tersebut.

Ketua Divisyen Polis Central, Timbalan Penolong Pesuruhjaya (DAC) SPF, Wong Keng Hoe, dalam satu kenyataan SPF pada 12 September, berkata:

“Polis tidak akan bertolak ansur terhadap kegiatan kongsi gelap yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam. SPF akan terus jalankan operasi di premis hiburan awam, pusat hiburan malam dan lokasi tumpuan orang ramai untuk mengekang kegiatan ini.

“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap premis yang ingkar dan individu yang bersekongkol dengan kongsi gelap.”

Dalam pada itu, seorang lelaki berusia 22 tahun turut ditahan kerana menyebabkan kecederaan sambil menghalang tugas seorang penjawat awam serta menggunakan kata-kata kesat dengan sengaja.

Beliau diberkas di kawasan Little India, di mana seorang lagi lelaki berusia 38 tahun didapati memiliki rokok elektronik di sebuah gerai makanan.

Seorang lelaki berusia 38 tahun didapati dengan rokok elektronik di sebuah gerai makanan di kawasan Little India.
Seorang lelaki berusia 38 tahun didapati dengan rokok elektronik di sebuah gerai makanan di kawasan Little India. - Foto TM

Beliau, bersama seorang individu berusia 40 tahun, telah diberkas atas kesalahan berkaitan rokok elektronik.

SPF berkata kes-kes tersebut telah dirujuk kepada Biro Narkotik Pusat (CNB) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Secara keseluruhannya, seramai tujuh individu berusia antara 16 dengan 44 tahun telah diberkas, dan lima rokok elektronik dirampas.

Kesalahan menjadi anggota kongsi gelap haram di bawah Seksyen 14(3) Akta Pertubuhan 1966 boleh membawa hukuman denda sehingga $10,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan untuk menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugasnya, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau sebatan.

Sementara itu, kesalahan menggunakan kata-kata kesat terhadap penjawat awam boleh membawa hukuman denda sehingga $5,000, penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan menggunakan rekod peribadi palsu di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan 1871 yang dibaca bersama Seksyen 468 Kanun Keseksaan 1871, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, atau kedua-duanya.

Selain itu, kesalahan mabuk sehingga tidak berdaya di tempat awam boleh membawa hukuman denda sehingga $1,000, penjara sehingga sebulan, atau kedua-duanya sekali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg