Dengan berbekalkan alat bantuan pendengaran dan tongkat untuk berjalan, Cik Nur Arfa Taqiah Mohamad Noor Azhar sudah biasa bekerja sambil duduk ketika menggalas amanah sebagai seorang juruteknik pengisyaratan di Pusat Servis Komponen, SBS Transit, di Depoh Sengkang.
Lulusan sijil Nitec dalam Mekatronik dan Robotik daripada Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat itu dikesan mengalami kondisi sklerosis berbilang, ketika beliau berusia 11 tahun sekitar 2018.
Keadaan itu merupakan sejenis penyakit autoimun dan neurologi yang menyebabkan tulangnya rapuh dan ototnya kian lemah, di samping menjejas sistem saraf tunjangnya.
Kesan sampingan perubatan yang diambil Cik Nur Arfa, kini 18 tahun, kemudian menjejas pendengaran kededua telinganya sehingga beliau tidak dapat mendengar perkataan atau bunyi tertentu, meskipun menggunakan alat bantuan pendengaran.
Di sebalik segalanya, Cik Nur Arfa bersemangat waja dan tidak berputus asa untuk terus berjuang dan mengejar impiannya sebagai seorang jurutera, seperti ayahnya.
Prestasi cemerlang dalam pendidikan membolehkannya dipilih sebagai salah seorang daripada empat pelajar ITE, yang layak menyertai program hasil inisiatif kerjasama awam-swasta-masyarakat, Program Laluan Pemberdayaan.
Program yang dilancarkan pada September 2024 itu diusahakan bersama oleh SG Enable, Dana Pembangunan Warga Institut Pengurusan Singapura (SIMPDF), ITE, dan SBS Transit, dengan tujuan memperkukuh peluang pekerjaan jangka panjang serta prospek kerjaya bagi pelajar kurang upaya.
Cik Nur Arfa telah menjalani latihan amali bersama SBS Transit antara Julai hingga November 202 sebelum syarikat itu menaja sepenuhnya pengajian Diploma Bekerja-Belajar dalam bidang Kejuruteraan Pengangkutan Darat (Rel) di kolej yang sama, dan akan bermula pada April 2025.
Menjelaskan lebih lanjut kepada Berita Harian (BH) dalam jawapan e-mel, Cik Nur Arfa berkata:
“Ayah saya merupakan inspirasi terbesar bagi saya. Beliau bekerja sebagai pegawai teknikal, dan saya amat kagum dengan pekerjaannya.
“Saya bersemangat menjalankan tugas sebagai juruteknik di Pusat Servis Komponen setelah dibawa mengelilingi depoh kereta api di bawah Program Laluan Pemberdayaan ini. Pada mulanya, saya rasa gelisah, kerana saya tidak pernah bekerja sebelum ini.”
Menurutnya lagi, jurulatih kerjayanya dari SG Enable telah membimbingnya dan memastikan tempat kerjanya sentiasa selamat, mengikut keupayaannya.
“Saya ingin menjadi sumber inspirasi kepada orang ramai, dan memberi contoh teladan yang baik bahawa orang kurang upaya masih boleh berjaya dalam bidang kejuruteraan,” ujarnya lagi.
Beliau akan menjalani pekerjaan empat hari seminggu di Pusat Servis Komponen di Depoh Sengkang, manakala satu hari diperuntukkan bagi kelas di kolej tersebut.
Mengenai keadaannya, Cik Nur Arfa berkata kelemahan otot dan kerapuhan tulang yang dihadapi membuatnya mudah tersandung dan terjatuhkan barang.
Namun, beliau bersyukur pekerja sekelilingnya amat memahami dan selalu menghulurkan bantuan di samping mementingkan keselamatannya.
“Saya amat hargai sokongan rakan sekerja, kerana ia memberikan pengalaman bekerja yang lebih baik bagi saya,” katanya.
Kini, Cik Nur Arfa bertekad untuk meneruskan usaha mengasah kemahirannya sebagai seorang juruteknik.
“Saya ingin menambah pengalaman praktikal dan mengambil tugas yang mencabar diri, sambil membantu pasukan kerja saya,” ujarnya.
Sebagaimana yang dikatakan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Belanjawan 2025 pada 18 Februari, pemerintah akan melabur lebih untuk membangun struktur bantuan bagi orang kurang upaya beralih lancar dari sekolah ke alam pekerjaan.
Lebih bantuan akan diberi kepada majikan untuk memberi peluang kepada lebih ramai orang kurang upaya untuk bekerja, termasuk kerjasama dengan pertubuhan seperti SG Enable dan Syarikat Amanah Keperluan Khas (SNTC).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg