Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tumbuk dua pemain lawan: Probesen bagi bekas pemain bola sepak remaja Tanjong Pagar United

Jan 6, 2026 | 8:16 PM
Singapore, probation, Tanjong Pagar United, Rizqin Aniq Rahaizad
Bekas pemain kelab bola sepak, Tanjong Pagar United, Rizqin Aniq Rahaizad, 20 tahun, dijatuhi hukuman probesen selama 15 bulan pada 6 Januari. - Foto ST

Seorang bekas pemain kelab bola sepak, Tanjong Pagar United, yang menumbuk dua pemain lawan daripada kelab, Albirex Niigata, dijatuhi hukuman probesen selama 15 bulan pada 6 Januari.

Sebagai sebahagian hukuman tersebut, Rizqin Aniq Rahaizad, 20 tahun, wajib berada di dalam rumah dari 10 malam hingga 6 pagi setiap hari, serta melaksanakan kerja khidmat masyarakat selama 70 jam.

Dengan ikat jamin $5,000, ibu bapa Rizqin perlu memastikan dia berkelakuan baik sepanjang tempoh probesen.

Dalam kejadian, tumbukan kuat remaja itu menyebabkan salah seorang mangsa rebah seketika.

Rizqin mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan serangan pada November 2025.

Pada prosiding sebelum ini, mahkamah diberitahu Rizqin, yang ketika itu pemain tengah Tanjong Pagar United, menyertai perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) bagi pemain bawah 21 tahun, pada 10 Februari 2025.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Thaddeus Tan berkata ketegangan antara kedua-dua pasukan memuncak sepanjang perlawanan.

Dalam satu kejadian, Rizqin terdengar seorang pemain Albirex Niigata berusia 17 tahun mengejek salah seorang rakan sepasukannya, kata DPP Tan.

Perlawanan itu tamat dengan pasukan Rizqin menang 3-2 ketika menentang Albirex Niigata, lapor The Straits Times (ST).

Apabila pemain kedua-dua pasukan beratur di padang untuk bersalaman selepas perlawanan, Rizqin menumbuk muka pemain Albirex Niigata itu.

Nama mangsa tidak boleh didedahkan kerana individu di bawah umur 18 tahun dilindungi Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA).

Kekecohan itu menyebabkan pemain dan kakitangan kedua-dua pasukan masuk campur, serta cuba menarik Rizqin keluar dari padang.

Meskipun begitu, Rizqin kembali berlari ke padang dan menumbuk muka seorang lagi pemain Albirex Niigata, Kenji Austin Ho, 20 tahun, menyebabkan beliau rebah ke tanah, kata DPP Tan.

Ho berada dalam keadaan keliru apabila beliau kembali sedar dan kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan bagi gegaran otak.

Beliau kemudian dilaporkan mengalami serangan panik. 

Laporan perubatan menunjukkan Ho mengalami gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) ringan dan kecelaruan panik.

Pada 12 Februari 2025, Tanjong Pagar United mengumumkan mereka telah menamatkan kontrak Rizqin. 

Menurut laporan ST pada Mac 2025, Rizqin turut dikenakan larangan bermain selama 30 bulan oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dan didenda $2,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg