Tiga ladang penternakan ikan yang terletak di Selat Johor Timur telah melaporkan penemuan beberapa tompokan minyak berhampiran premis mereka pada 17 Julai, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada 18 Julai.

SFA memberitahu The Straits Times (ST) bahawa pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pengusaha ladang terjejas dalam usaha pembersihan, dan akan terus memberi bantuan sekiranya diperlukan.

“Setakat ini tiada sebarang isu melibatkan keselamatan makanan,” tambah agensi itu sambil menegaskan, mereka akan terus memantau rapat situasi berkenaan.

Ketika dihubungi, Presiden Persatuan Penternak Ikan Singapura (FFAS), Encik Daniel Tay, berkata tompokan minyak itu dikesan sekitar 7 pagi pada 17 Julai berhampiran Pulau Ketam, iaitu kawasan berdekatan Pulau Ubin di Selat Johor Timur.

Beliau menjelaskan bahawa keselamatan makanan tidak terjejas memandangkan ikan berkenaan menyelam jauh ke dasar ketika lapisan minyak itu lalu di permukaan air. 

Ini bermakna hidupan di dalam sangkar yang terjejas tidak terkena minyak tersebut.

“Kami kini sedang membersihkan kesan kotoran dan menyental jaring. Jika gagal dibersihkan, jaring itu akan dibuang. Andai ini berlaku, ikan-ikan di dalam sangkar terjejas terpaksa dipindahkan,” kata Encik Tay.

Insiden penemuan minyak itu berlaku tidak sampai sebulan selepas sekurang-kurangnya dua ladang penternakan ikan terjejas oleh satu kebakaran pada 24 Jun, dengan seorang pemilik menganggarkan kerugiannya mencecah sekitar $120,000. Kejadian itu disyaki tercetus daripada panahan petir.

Mengulas lanjut, Encik Tay berkata terdapat banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh pengusaha sektor barisan hadapan ini termasuk ancaman petir dan tumpahan minyak, sambil menyatakan bahawa empat insiden seumpama itu telah berlaku dalam tempoh sedekad lalu.

“Keprihatinan orang ramai sangat tinggi, dan ini mendorong kami untuk terus berkembang serta menyokong pasaran tempatan,” katanya.