Tumpuan pada 2026 – bantu firma S’pura bina ketahanan, rebut peluang pertumbuhan baru
Tumpuan pada 2026 – bantu firma S’pura bina ketahanan, rebut peluang pertumbuhan baru
Dengan prospek ekonomi yang dijangka kekal “tidak menentu” pada 2026 dan isu tarif menjadi kebimbangan berpanjangan, Enterprise Singapore (EnterpriseSG) akan mempergiat usaha membantu perusahaan Singapura membina ketahanan dan merebut peluang pertumbuhan baru, kata pengerusinya, Encik Lee Chuan Teck.
Tumpuan akan diberikan kepada pengukuhan sokongan untuk pengantarabangsaan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) merentas pelbagai sektor.
Tujuannya adalah untuk mentransformasi perniagaan dan meningkatkan kecekapan.
“Pertumbuhan global tidak merosot seburuk yang dijangkakan, dan ekonomi Singapura juga kekal berdaya tahan, dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.8 peratus.
“Namun prospeknya kekal tidak menentu. Persekitaran perdagangan global masih belum stabil,” kongsi Encik Lee ketika berucap pada taklimat media tahunan EnterpriseSG pada 28 Januari.
Beliau menambah: “Risiko baru juga semakin ketara termasuk konflik geopolitik serta cabaran pertumbuhan seperti paras hutang global yang tinggi.”
Mengenai tarif, Encik Lee khuatir tarif sektor terhadap semikonduktor dan farmaseutikal akan menjejas Singapura, berpotensi mengakibatkan pengalihan perdagangan.
Justeru, EnterpriseSG memperkukuh usaha membantu syarikat Singapura membina daya tahan dan mencari peluang pertumbuhan baru pada 2026.
Langkah ini termasuk pengantarabangsaan. Lembaga berkanun yang mempunyai lebih 35 pejabat di serata dunia itu merancang membuka dua pejabat baru di Amerika Syarikat, iaitu di Austin dan Boston.
Austin dipilih kerana masyarakat syarikat pemula atau start-up yang pesat, manakala Boston adalah hab besar syarikat pemula, khususnya dalam bidang bioperubatan, jelas Encik Lee.
AI juga menjadi fokus EnterpriseSG dalam usaha membantu syarikat Singapura.
Namun, Encik Lee menekankan perbezaan antara sekadar menggunakan AI dan memanfaatkannya untuk transformasi mendalam.
Sebagai contoh, jika syarikat logistik ingin menggunakan AI untuk mengoptimumkan perancangan laluan, ia memerlukan data syarikat dan data makro yang luas, termasuk keadaan jalan, jadual ketibaan kapal di pelabuhan, serta penerbangan di Lapangan Terbang Changi.
Dengan membantu syarikat logistik mengenal pasti masalah dan mencari penyelesaian, kesan transformatif terhadap industri logistik secara keseluruhan dapat dicapai.
Sementara itu, Encik Lee akur banyak SME mungkin tidak pasti tentang sumber maklumat atau bantuan yang sedia ada, serta jenis penyelesaian yang perlu diambil.
Beliau berkata: “Fokus untuk 2026 dan beberapa tahun akan datang adalah untuk melengkapi mereka dengan pengetahuan untuk memanfaatkan sokongan yang kami tawarkan, dan bukannya memperkenalkan sokongan baru yang mungkin tidak mereka sedari.”
Sehubungan itu, EnterpriseSG sedang menguji perisian saluran digitalnya, myEnterprise, untuk menawarkan sokongan yang lebih peribadi bagi pengembangan pasaran dan berharap dapat melancarkan lebih banyak ciri dan menjangkau lebih banyak syarikat pada 2027.

