Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Turkey terus popular dengan tarikan sejarah dan budaya

Dari tapak sejarah hingga ke peninggalan budaya, setiap langkah dalam pengembaraan ini bawa seribu makna tersendiri, hubungkan masa silam dengan masa kini
Apr 6, 2025 | 5:30 AM
Menurut Ustaz Abdul Rahim Ramlee (kiri), wisata ke Turkey mampu memberikan pengalaman baru yang bukan sahaja bersifat pelancongan, malah  menyentuh aspek kerohanian dan sejarah Islam.
Menurut Ustaz Abdul Rahim Ramlee (kiri), wisata ke Turkey mampu memberikan pengalaman baru yang bukan sahaja bersifat pelancongan, malah menyentuh aspek kerohanian dan sejarah Islam. - Foto JALALUDDIN TRAVEL & SERVICES PTE LTD

Turkey terus menjadi antara destinasi pilihan utama pelancong dari seluruh dunia.

Terkenal dengan warisan sejarah, seni bina yang menakjubkan, serta hidangan yang memikat hati, negara di antara benua Asia dan Eropah ini juga menawarkan pengalaman indah kepada pelancong.

Dari Istanbul ke Sanliurfa hingga ke Konya dan Bursa, kota-kota ini menawarkan keunikan yang menjadikannya destinasi istimewa bagi pengunjung dan warga Islam sejagat.

Penulis sempat menjelajah negara yang penuh tamadun ini bersama syarikat pelancongan setempat, Jalaluddin Travel & Services Pte Ltd, menaiki pesawat Qatar Airways dan Turkish Airlines.

Pengembaraan penuh bersejarah ini membuka jendela kepada kisah-kisah lama yang membentuk peradaban kita pada hari ini.

Daripada tapak sejarah hingga ke peninggalan budaya yang masih diingati, setiap langkah dalam pengembaraan ini membawa seribu makna tersendiri, menghubungkan masa silam dengan masa kini.

Turkey pernah menjadi sebahagian daripada empayar Byzantium, dan kemudian sebagai pusat kekhalifahan kerajaan Uthmaniyyah dan memiliki banyak peninggalan Islam yang masih utuh dan terjaga.

Pemerintahan Uthmaniyyah, penuh dengan monumen bersejarah, telah menguasai sebahagian besar negara di Eropah Tenggara, Asia Barat, dan Afrika Utara antara abad ke-14 dan awal abad ke-20 selama lebih kurang 600 tahun.

Keajaiban menarik di Sanliurfa

Destinasi pertama kami adalah meneroka kota Sanliurfa, juga dikenali sebagai bandar Urfa. Kota ini kaya dengan peninggalan sejarah yang menarik dan wajar diziarahi jika anda melancong ke Turkey. Antara tarikan utama di sini termasuk makam para nabi serta tasik yang dikenali sebagai Balıklıgöl atau Danau Halil-ur Rahman, yang juga disebut sebagai Kolam Nabi Ibrahim.

Tasik ini dikatakan menyimpan sejarah yang mendalam dan dikaitkan dengan kisah Nabi Ibrahim as. dan Raja Namrud. Menurut riwayat, Raja Namrud telah memerintahkan agar Nabi Ibrahim as dibakar hidup-hidup kerana menentang penyembahan berhala.

Namun, dengan izin Allah swt, api tersebut tidak terasa panas dan Nabi Ibrahim as terselamat. Ikan-ikan di dalam tasik ini dianggap ‘suci’ dan dilindungi; pengunjung juga dilarang menangkap atau mengganggu ikan-ikan tersebut.

Pelawat juga boleh mengunjungi Masjid Rizvaniye dan Gua Mevlidi Halil, yang dipercayai sebagai tempat kelahiran Nabi Ibrahim as.

Pusat sejarah Islam dan peradaban

Kota Istanbul, sebagai contoh, terkenal dengan mercu tanda ikonik seperti Hagia Sophia, Masjid Biru, dan Istana Topkapi – yang menjadi simbol kegemilangan tamadun Islam selama berabad-abad. Bagi pencinta sejarah, Istana Topkapi menyimpan pelbagai khazanah Empayar Uthmaniyyah, termasuk pedang Rasulullah saw serta jubah peninggalan para sahabat, menjadikannya lokasi yang penuh nilai kerohanian dan sejarah.

Bandar Konya turut memainkan peranan penting dalam warisan Islam. Ia dikenali sebagai pusat sufisme dan menjadi tempat persemadian Jalaluddin Rumi, seorang tokoh sufi dan penyair tersohor. Pengaruhnya masih dirasai hingga kini. Makamnya terus menjadi tumpuan pelawat dari seluruh dunia, yang mencari inspirasi dan ketenangan rohani.

Gaya hidup Islam yang progresif dan moden

Turkey turut dikenali sebagai sebuah negara yang menggabungkan tradisi Islam yang kukuh dengan kehidupan moden secara harmoni. Kota-kota bersejarah seperti Bursa dan Gaziantep menawarkan suasana Islam yang masih teguh diamalkan dalam kehidupan harian penduduknya. Majoriti masyarakat di sini merupakan pengikut Islam Sunni bermazhab Hanafi, iaitu mazhab yang diasaskan oleh Imam Abu Hanifa, dan terus diamalkan secara meluas hingga ke hari ini.

Seperti di kota Sanliurfa, khususnya di kawasan Harran, terdapat beberapa lokasi bersejarah penting yang berkait rapat dengan para nabi. Antaranya ialah dikatakan kediaman dan gua Nabi Ibrahim as, makam Nabi Ayub as dan makam Siti Sarah, isteri Nabi Ibrahim as.

Di Tarsus, sebuah bandar di wilayah Mersin, pengunjung berpeluang melihat gua dikatakan tempat Ashabul Kahfi, tujuh pemuda beriman bersama seekor anjing, bersembunyi dan ditidurkan Allah selama 309 tahun sebagai perlindungan daripada kezaliman pemerintah ketika itu.

Terdapat beberapa lokasi yang dikatakan sebagai gua Ashabul Kahfi yang disebut dalam Al-Quran, namun gua di Tarsus ini menjadi antara tempat yang diyakini dan kini menjadi antara tarikan utama di bandar tersebut.

Kota-kota Islam di Turkey bukan sahaja kaya dengan sejarah, malah berperanan sebagai pusat ekonomi dan pendidikan Islam yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa. Dengan warisan Islam yang mendalam, kota-kota ini terus menjadi tumpuan dunia, sama ada untuk tujuan pelancongan, pendidikan, mahupun rawatan perubatan estetik.

Turkey menjadi contoh nyata bagaimana nilai-nilai Islam dan kemajuan moden dapat berjalan seiring, membentuk sebuah negara yang makmur, progresif, dan tetap berpegang pada akar tradisi keagamaannya.

Keindahan alam di Cappadocia, berbelanja di Grand Bazaar

Perjalanan ke Turkey tidak lengkap tanpa meneroka Cappadocia, sebuah kawasan yang terkenal dengan landskap semula jadi yang unik serta pengalaman menaiki belon udara panas. Formasi batu yang luar biasa di Lembah Göreme menjadikan suasana di sini seolah-olah berada di dunia lain – satu pengalaman yang mengagumkan.

Bagi pecinta budaya dan beli-belah, kunjungan ke Grand Bazaar di Istanbul adalah satu kemestian. Pasar tertutup ini merupakan antara yang tertua di dunia, menempatkan lebih 4,000 kedai yang menjual pelbagai barangan seperti permaidani, barangan kemas, antik, pakaian, haruman dan alat solek, rempah-ratus, serta cenderamata unik.

Pelancong juga berpeluang menikmati pelbagai makanan tradisional Turkey seperti kebab, baklava, kunafa serta teh buah delima dan epal yang terkenal dengan keenakan rasanya. Hidangan-hidangan ini menawarkan rasa autentik yang memikat selera.

Kami turut bermalam di Cappadocia Cave Hotel – sebuah hotel gua yang bukan sahaja mempesonakan jiwa dengan keindahan seni binanya, malah menawarkan keunikan dan pengalaman menginap yang tidak dapat dilupakan.

Pamukkale dan kolam Cleopatra

Pamukkale, yang bermaksud “Istana Kapas”, merupakan salah satu keajaiban alam semula jadi yang menakjubkan di Turkey. Air panas semula jadi yang kaya dengan mineral telah membentuk teres-teres putih yang menyerupai kapas — satu pemandangan yang memukau mata. Ramai pengunjung tidak melepaskan peluang berendam di dalam kolam semula jadi ini sambil menikmati keindahan landskap sekitarnya.

Berhampiran Pamukkale terletak Hierapolis, sebuah kota purba peninggalan Empayar Rom yang kaya dengan seni bina klasik. Kami meluangkan masa menyusuri runtuhan teater lama yang masih utuh dan melihat sendiri Kolam Cleopatra, yang dikatakan mempunyai khasiat tersendiri untuk kesihatan dan kecantikan.

Bagi penulis, Turkey meninggalkan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan bagi sesiapa sahaja yang berkunjung. Jika anda sedang mencari destinasi yang sarat dengan keunikan, sejarah, dan keindahan semula jadi, Turkey adalah pilihan yang tepat!

Menurut Pengarah Jalaluddin Travel & Services Pte Ltd, Ustaz Abdul Rahim Ramlee, lawatan ke Turkey mampu memberikan pengalaman baru yang bukan sahaja bersifat pelancongan, tetapi juga menyentuh aspek kerohanian dan sejarah Islam. Ia memberi peluang kepada pelancong untuk menelusuri tempat-tempat yang disebut dalam Al-Quran, seperti gua yang dikatkan gua Al-kahfi.

“Mereka dikenali sebagai Ashabul Kahfi atau ‘Penghuni Gua’ kerana bersembunyi di dalam sebuah gua untuk melindungi iman mereka daripada pemerintah yang zalim, yang memaksa mereka meninggalkan keimanan kepada Allah. Kisah ini bukan sahaja sarat dengan nilai sejarah, malah membangkitkan kesedaran rohani,” ujarnya.

Beliau berkata, kisah itu mengajar kita tentang erti pengorbanan dan keteguhan iman dalam menghadapi ujian hidup.

“Ashabul Kahfi menunjukkan keberanian luar biasa apabila mereka sanggup meninggalkan kemewahan dan keselesaan dunia demi mempertahankan akidah mereka. Ini adalah lambang iman yang kukuh dan keteguhan hati.

“Lebih daripada itu, kisah ini turut menggambarkan kebesaran dan kekuasaan Allah swt, yang mampu melindungi hamba-Nya dengan cara yang luar biasa. Tidur mereka selama ratusan tahun tanpa sebarang kesan fizikal merupakan bukti bahawa apabila seseorang menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada Allah, maka pertolongan-Nya pasti akan datang,” ujar beliau.

Beliau berharap perjalanan ke Turkey bukan sahaja memberi pengalaman baru kepada pelancong, malah meningkatkan keimanan dan memperteguh kekuatan rohani dan jasmani para peserta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg