Broker hartanah Dubai, Su Jianfeng, dijatuhi hukuman penjara 17 bulan, menjadikannya yang terakhir daripada 10 warga asing yang ditahan dalam serbuan antipengubahan wang haram pada Ogos 2023.
Lelaki warga Vanuatu berusia 36 tahun itu, yang berasal dari China, mengaku bersalah pada 6 Jun atas dakwaan pengubahan wang haram dan pemalsuan.
Lagi 12 pertuduhan telah diambil kira. Ia terdiri daripada pemalsuan dan pengubahan wang haram kepada kesalahan berkaitan tenaga kerja kerana mengupah tukang masak peribadi tanpa pas kerja yang sah.
Hakim Daerah James Elisha Lee pada 10 Jun berkata Su telah menunjukkan dengan tahap tinggi bahawa dia tidak menghiraukan undang-undang di Singapura, dengan pertuduhan menunjukkan dia berterusan melakukan perbuatan itu dalam tempoh masa yang lama.
Sebagai sebahagian daripada hukumannya, Su bersetuju $178.9 juta daripada asetnya dirampas.
Ia merupakan 95.5 peratus daripada $187 juta harta yang dirampas daripadanya dan isterinya, Chen Qiuyan.
Dokumen mahkamah menunjukkan selepas pasangan itu berpindah ke Singapura pada Ogos 2020, mereka mengumpul portfolio aset yang merangkumi 12 hartanah bernilai $63.9 juta dan tujuh kenderaan bernilai $5.2 juta.
Untuk memperoleh kekayaan itu, Su menipu dua bank di Singapura dengan mengemukakan beberapa kontrak jualan hartanah meskipun sedar ia palsu.
Dua daripada kontrak itu, yang diserahkan kepada Maybank Singapura, adalah untuk penjualan hartanah DC The Grand bernombor 5101 dan hartanah bernombor 3009 kepada seorang bernama Li Bao.
Kontrak ketiga, yang turut diberikan kepada Maybank, adalah untuk penjualan hartanah Residences_E2 bernombor 2302 kepada Lin Zhenghu.
Su mendakwa bahawa deposit sebanyak $1,029,970 dan $969,970 yang dibuat oleh firma bernama Tuo Xin You adalah hasil daripada penjualan hartanah itu.
Kontrak keempat adalah untuk hartanah Address Boulevard bernombor 3101, yang dikatakan telah dijual kepada Wong Hiuluen, yang diserahkan oleh Su kepada OCBC Bank.
Kontrak kelima adalah untuk penjualan hartanah Emaar Square Bldg 2 bernombor 408 kepada Zhou Weihong, yang turut diserahkan kepada OCBC.
Su mendakwa bahawa deposit sebanyak $2,999,980 yang dibuat oleh Wecord Rich Trading Company adalah daripada penjualan hartanah itu.
Dia juga telah menyerahkan dua perjanjian pinjaman kepada OCBC yang dia tahu dipalsukan.
Di mahkamah, Su mendakwa telah meraih keuntungan sebagai ejen hartanah di Dubai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg