SPH Logo mobile
Langgan|

Ubat rindu pada Bee Gees menerusi konsert trio ‘Night Fever’

Ubat rindu pada Bee Gees menerusi konsert trio ‘Night Fever’

Mar 2, 2026 | 5:30 AM

Ubat rindu pada Bee Gees menerusi konsert trio ‘Night Fever’

Bee Gees, konsert Night Fever, disko
Kumpulan sanjungan Bee Gees, Night Fever, dari Canada ini berjaya menghidupkan suasana dengan persembahan lagu Bee Gees yang penuh bertenaga dan harmoni. - Foto FACEBOOK THE BEE GEES NIGHT FEVER

Suara sengau dan nyaring atau nasal falsetto anggota kumpulan legenda tiga bersaudara, Bee Gees, ‘melekat’ di fikiran ramai ketika menghadiri konsert penghormatan buat mereka yang diterajui kumpulan dari Canada, Night Fever.

Sewaktu Carm Castiglione, Joe Varga dan Daryl Thistle menyanyi dalam persembahan sempena Hari Kekasih di Teater Sands, Marina Bay Sands, pada 14 Februari lalu, terasa bagaikan Barry Gibb, Maurice Gibb dan Robin Gibb benar-benar ada di sisi.

Rindu pada Bee Gees nampaknya terubat memandangkan Maurice dan Robin telah lama meninggalkan kita.

Maurice meninggal dunia pada 12 Januari 2003 kerana masalah pintalan usus yang membawa pada serangan jantung, manakala Robin pula meninggal dunia pada 20 Mei 2012 kerana barah hati.

“Suara dia samalah!” kedengaran suara teman saya berulang kali apabila mereka bertiga masuk dalam kerdipan lampu merah jingga di pentas, bagaikan mengembalikan era disko 1970-an, melalui runut bunyi filem, Saturday Night Fever dan Staying Alive.

Konsert The Bee Gees Night Fever - Valentine’s Weekend Concert, membuka tirai persembahan dengan lagu popular, You Should Be Dancing, yang terus disambut sorakan gemuruh penonton.

Nada harmoni yang mantap itu, berjaya menandingi emosi lagu asal. Kami langsung terbang ke era 1970-an dan 1980-an dalam sekelip mata.

Seterusnya, mereka membawakan lagu Massachusetts, How Deep Is Your Love, ‘Tragedy’ dan I Started A Joke, yang mengembalikan bermacam nostalgia baik buat generasi ‘orang lama’ mahupun anak mereka yang menemani mereka pada hujung minggu itu.

Bagi saya, detik paling manis ialah ketika mereka menyanyikan lagu kegemaran ramai yang asalnya didendangkan Kenny Rogers dan Dolly Parton, Islands In The Stream.

Sepanjang hampir dua jam persembahan, Night Fever, membawa penonton mengembara melalui pelbagai era Bee Gees, daripada irama disko rancak hingga balada yang mendayu-dayu.

Persembahan mereka bukan sekadar sanjungan semata-mata, malah, satu penghargaan kepada legasi Bee Gees yang masih relevan hingga kini.

Konsert anjuran Base Entertainment Asia itu ditutup dengan tepukan gemuruh dan sorakan penonton yang tidak putus-putus, meninggalkan kenangan manis bagi semua yang hadir.

Malam itu turut membuktikan karya Bee Gees tetap abadi dan mampu menyatukan peminat dari pelbagai generasi melalui alunan muzik yang tiada tandingan.

Dua peminat setia Bee Gees, Cik Inge Setyawan, 48 tahun, seorang kaunselor, dan Encik Johan Ali, 68 tahun, seorang pemandu teksi, berkongsi pengalaman mereka menghadiri persembahan penuh bibit kenangan indah.

Bagi Cik Inge, lagu Bee Gees sudah menjadi sebahagian hidupnya sejak kecil lagi.

“Sepupu saya, yang lebih tua 20 tahun daripada saya, selalu mainkan lagu Bee Gees ketika menjaga saya yang masih kecil ketika itu.

“Lagu mereka dekat di hati saya sejak kecil. Lagu kegemaran saya sudah tentu Staying Alive,” kata beliau.

Beliau tertarik pada keunikan suara Bee Gees (khususnya vokalis utama, Barry, satu-satunya anggota yang masih hidup), selain lirik yang menyentuh hati dan bersifat menepati cita rasa sejagat.

Selain Bee Gees, Cik Inge turut menyukai kumpulan Air Supply kerana melodi menyentuh jiwa.

Bagi Encik Johan yang menerima tiket konsert itu sebagai hadiah kejutan daripada anak perempuannya, keunikan suara dan harmoni kumpulan Bee Gees sentiasa memukau.

“Sejak 1970, mereka menghasilkan muzik hebat dengan suara mereka saling melengkapi.

“Lagu kegemaran saya ialah Words. Mereka adalah kumpulan yang bertahan lama dan menghasilkan muzik cukup mantap dengan lagu malar segar mereka,” kata beliau yang turut menyukai kumpulan Doobie Brothers kerana bertahan lebih 50 tahun lamanya dalam industri hiburan.

Datuk lima cucu ini turut memuji lagu dari era 1980-an hingga 1990-an sebagai malar segar dan masih relevan kerana susunan muzik yang menyenangkan dan mudah didengar.

Kedua-dua peminat berpendapat persembahan konsert Night Fever itu sangat menghiburkan.

Kata Cik Inge, “Konsert ini menyeronokkan dan interaktif, terutamanya apabila mereka mengajak penonton menari dan menyanyi bersama. Sudah tentu, saya akan menonton lagi pada masa hadapan.”

Dari konsert itu, boleh dilihat seorang wanita berusia sekitar lewat 50-an atau 60-an begitu santai menari di tempat duduknya sambil anaknya merakam videonya berdansa penuh ceria.

Pasangan jejaka ‘orang putih’ dan wanita Filipina di sebelah saya pula seronok merakam kenangan di konsert itu dengan kerap memberi telefon bimbit mereka kepada penonton di belakang untuk merakam foto nostalgia mereka menyambut ulang tahun perkahwinan ke-15.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg