Tetamu kehormat, tuan-tuan dan puan-puan, selamat malam.
Pertama, adalah suatu penghormatan bagi saya untuk bersama anda pada malam ini (2 Februari) sempena tayangan khas (dokumentari), ‘Gelombang Perubahan: Aceh 20 Tahun Selepas Dibadai Tsunami’.
Saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Berita Harian (BH) kerana menghasilkan dokumentari yang menyentuh hati ini bagi memperingati ulang tahun ke-20 tsunami di Aceh.
Tragedi ini bukan sahaja merupakan bencana bagi rakyat Aceh, tetapi juga peringatan bagi dunia tentang betapa pantasnya kehidupan boleh berubah apabila berhadapan dengan fenomena alam.
Kedua, tsunami pada 26 Disember 2004 merupakan bencana tsunami paling dahsyat dalam sejarah, meragut lebih daripada 160,000 nyawa di Aceh dan meninggalkan kesedihan serta kemusnahan yang amat besar.
Namun, ia juga menunjukkan kepada kita kekuatan semangat kemanusiaan.
Curahan sokongan dari seluruh dunia, termasuk Singapura, adalah bukti ikatan bersama yang penuh belas ihsan dan perpaduan.
Ketiga, menyusuli bencana alam tersebut, banyak negara, persatuan, dan individu berganding bahu untuk menghulurkan bantuan kepada Aceh ketika waktu sukarnya.
Singapura turut serta dalam usaha bantuan antarabangsa ini.
Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) bekerjasama dengan ramai warga Singapura dan organisasi bantuan untuk menyumbang kepada usaha bantuan kecemasan serta projek pemulihan jangka panjang.
Sebagai jiran dan rakan baik Indonesia, rakyat Singapura bekerjasama rapat dengan rakan-rakan Indonesia kami di Aceh untuk membuat perubahan dalam situasi yang penuh cabaran tersebut.
Baru dua minggu lalu (23 Disember), Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, telah membuat lawatan ke Aceh untuk menerima anugerah Ar-Raniry daripada Universiti Islam Negeri Ar-Raniry Banda Aceh, bagi pihak Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Anugerah ini mengiktiraf sokongan Singapura terhadap usaha bantuan (buat rakyat Aceh).
Saya amat terharu kerana rakan kami di Aceh masih mengingati sumbangan kami 20 tahun lalu dan telah memberi penghormatan kepada kami atas bantuan yang dihulurkan.
Ia juga sangat menyentuh hati apabila wakil antarabangsa dari Amerika Syarikat dan Turkey turut hadir di majlis tersebut.
Ini menunjukkan bahawa ia (usaha bantuan itu) benar-benar merupakan usaha antarabangsa.
Keempat, pengajaran (yang dipelajari) dari Aceh masih (memberi kesan) mendalam buat saya.
Pendidikan merupakan salah satu tonggak utama dalam proses pemulihan dan pembinaan semula Aceh.
Sekolah bukan sekadar bangunan fizikal – ia adalah ruang di mana harapan dipupuk, di mana benih ketahanan ditanam, dan di mana asas untuk masa depan yang lebih baik dibina.
Menyusuli tsunami itu, (langkah) pembinaan semula sekolah dan penyambungan semula pendidikan menjadi keutamaan yang paling penting, (kerana ia) memastikan anak-anak Aceh dapat menemui semula kestabilan setelah menghadapi bencana tersebut.
Kelima, dokumentari (yang ditayangkan) malam ini bukan sekadar sebuah kisah mengenai tragedi – malah, ia meraikan ketahanan, perubahan, dan semangat kemanusiaan yang tidak dapat dimusnahkan.
Ia mengingatkan kita kembali tentang perjalanan panjang pemulihan dan bagaimana, selepas 20 tahun, rakyat Aceh telah menunjukkan kekuatan yang luar biasa dalam mengatasi cabaran.
Kali terakhir saya mengunjungi Aceh adalah pada Julai 2023 dan saya amat kagum dengan kemajuan yang telah dicapai oleh rantau tersebut.
Saya tidak akan melupakan lawatan saya ke Muzium Tsunami Aceh, yang memperingati bukan sahaja nyawa yang terkorban dalam bencana tersebut, tetapi juga semangat ketahanan luar biasa rakyat Aceh yang terselamat dari bencana itu.
Saya juga berpeluang melawat Masjid Raya Baiturrahman, yang selamat daripada tsunami dengan kerosakan terhad.
Tempat bersejarah ini adalah bukti kekuatan semangat manusia dalam menghadapi tragedi dan bencana, serta tekad mereka untuk membina semula (kehidupan mereka) demi masa depan yang lebih cerah.
Saya yakin bahawa Aceh mempunyai masa depan yang cerah, dengan potensi besar dalam sektor yang menarik dan sedang berkembang.
Keenam, saya juga menantikan sesi dialog selepas ini (selepas acara tersebut), terutamanya untuk mendengar perkongsian daripada Cik Juliah Bee Abdul Latiff, warga Singapura yang telah mendedikasikan lima tahun untuk berbakti dalam usaha kemanusiaan dan pemulihan di Aceh.
Kisah sebegini menjadi peringatan yang kuat tentang bagaimana bakti kemanusiaan dan komitmen seseorang dapat memberi kesan yang besar kepada masyarakat, sehingga berupaya meninggalkan warisan yang berkekalan.
Ketujuh, di samping kita merenung perjalanan Aceh, kita perlu juga sedar bahawa ancaman bencana alam dan perubahan iklim adalah cabaran yang tetap kekal sehingga kini.
Kita mesti terus mengukuhkan perkongsian sejagat kita dan mempersiapkan masyarakat kita untuk menghadapi cabaran masa depan.
Dari segi pendidikan, kita perlu mengajar generasi muda untuk menghargai semangat ketahanan dan belas ihsan, kerana inilah ciri-ciri yang akan membantu kita menghadapi krisis bersama-sama.
Dokumentari ini bukan sahaja mengimbau tragedi yang berlaku 20 tahun lalu, tetapi juga mengingatkan kita tentang semangat perpaduan yang terjalin antara masyarakat antarabangsa, termasuk Singapura, dan saudara-saudara kita di Aceh.
Kisah-kisah yang dikongsikan dalam dokumentari ini serta perbincangan dalam sesi dialog santai malam ini (2 Februari) amat menyentuh hati dan memberi inspirasi kepada kita semua untuk terus menghargai nilai kemanusiaan, empati, dan harapan.
Semoga dokumentari ini menjadi pemangkin untuk kita memperkukuhkan usaha membina dunia yang lebih bersatu dan lebih penyayang.
Kepada rakan-rakan kita di Aceh, ketahuilah bahawa kami di Singapura tidak pernah melupakan perjuangan anda.
Kami akan terus menyokong anda dalam perjalanan anda ke arah pembangunan dan kemajuan yang lebih mampan.
Bersama-sama, kita dapat mengharungi segala cabaran dan memastikan masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.
Sebagai penutup,
Izinkan saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada BH atas dokumentari yang cukup bermakna ini.
Ia adalah peringatan yang penting tentang kepentingan perpaduan, kemanusiaan, dan harapan.
Semoga ia memberi inspirasi kepada kita semua untuk terus menyokong antara satu sama lain dan membina dunia yang lebih penuh belas ihsan.
Terima kasih.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg