Sambutan ulang tahun keenam Wisma Geylang Serai (WGS) yang sarat dengan persembahan seni warisan Melayu mendapat tempat di hati beberapa penonton termasuk golongan budayawan, karyawan dan anak muda.
Ia diberi judul Budaya Yang Disulam dan berlangsung di Persada Budaya, WGS, pada malam 25 Januari, yang penuh warna-warni dan perlambangan kebudayaan Melayu zaman berzaman.
Tarian, nyanyian, pertunjukan silat dan permainan alat muzik tradisional menjadi santapan mata dan halwa telinga orang ramai yang bagaikan berpesta pada malam itu dengan pakaian serba cantik dan indah.
Terhibur orang ramai dengan jenaka dan ragam pengacara, Fir Rahman dan Izyan Mellyna Ishak, yang memang lincah dan mampu membangkitkan semangat penonton untuk bersuka ria.
Acara itu turut dijayakan penggiat seni setempat, Nadiputra, Rausyanfikir, Anis Qurratu’ Aini, Sarah Syazlina, Rico Setiabudi, Rifaah Ridzuwanulhakim, Suryana Norddin, Syafiqah ’Adha, Gendang Akustika, Faridah Jamal, Mohamed Faizal Salim, Ulfah Irwan, Cikgu Wandi, Genbano, Sri Warisan, Wahana Deksu, Dea Nusaybah dan Panglima Hitam.
Lagu-lagu yang sudah lama tidak berkumandang seperti Gurindam Jiwa, Singapura Waktu Malam, Kerna Delylah, Pesta Perut, Marilah Pulang Ke Geylang Serai dan Temasya Desa Gemalai, menyusup masuk ke telinga.
Berita Harian (BH) menemui beberapa penonton yang turut berkongsi pandangan mereka mengenai acara berkenaan.
Jurutari legenda Singapura, Som Said, 74 tahun, yang juga penerima Pingat Budaya, Majlis Seni Kebangsaan (NAC), menganggap persembahan yang disajikan untuk orang ramai ini mengandungi pelbagai elemen menarik, dan menonjolkan budaya Melayu dengan begitu ketara sekali.
“Acara ini merangkumi aspek budaya, estetika dan kesenian Melayu dengan cara yang sungguh mengagumkan. Puisi ada, silat ada, nyanyian lagu-lagu lama dan baru juga turut dipersembahkan.
“Rencah semua serba lengkap. Hadirin semua memang sangat terhibur. Syabas kepada WGS!” jelasnya yang juga penerima Anugerah Jauhari Berita Harian.
Cik Salena Isnin, 53 tahun, pekerja bebas, pula berkata acara meraikan ulang tahun keenam WGS itu mampu menyemarakkan lagi budaya Melayu sambil orang ramai bersilaturahim dengan penggiat seni dan pemimpin Melayu.
“Saya amat terhibur dengan persembahan gah daripada kumpulan Rausyanfikir yang penuh bersemangat.
“Dengan nyanyian Art Fazil dan Khair Yasin serta petikan gitar rancak, nostalgia mendengar lagu-lagu puitis mereka kembali lagi.
“Saya berharap agar WGS dapat menganjurkan lebih banyak lagi acara kebudayaan sebegini, agar dapat menarik minat orang ramai dari berbilang bangsa dan agama ke kawasan Geylang,” tambahnya.
Pemuzik dan pemain ‘guzheng’, Mohamed Faizal Salim, 44 tahun, pula berbesar hati dapat terlibat dalam acara tersebut.
“Saya berharap WGS akan terus menganjurkan acara kebudayaan sebegini dan menarik minat anak muda kita untuk mengambil bahagian dan sekali gus datang ke kawasan bersejarah seperti di Geylang Serai ini.
“Permainan alat muzik dari berbilang kaum seperti akordion, tabla, angklung toel dan ‘guzheng’ memeriahkan suasana. Seronok mempersembahkan lagu Riang Bersama, ciptaan Syafiqah ’Adha,” katanya.
Apa pula yang dinantikan anak muda seperti pelajar Politeknik Republic (RP), Encik Mohamed Alfie Shazrie Shaharudin, 19 tahun?
“Sebagai peminat seni silat, saya amat terhibur dengan persembahan silat dari pesilat mapan seperti Panglima Hitam, Rifaah Ridzuwanulhakim, Rico Setiabudi dan Nadiputra sendiri.
“Memang mantap. Bagi saya, salah satu jati diri orang Melayu kita adalah seni silat, dan kita harus menghargainya dan pelihara seni ini agar tidak pupus ditelan zaman.
“Saya berharap WGS akan terus menganjurkan acara kebudayaan sebegini pada masa akan datang,” jelasnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg