Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ular sawa ditangkap di Toa Payoh

May 6, 2024 | 6:29 PM
Empat pekerja kontraktor NParks berjaya menangkap seekor ular sawa dipercayai seberat 10 kilogram dari longkang di Lorong 1 Toa Payoh sekitar 2.10 petang pada 6 Mei.
Empat pekerja kontraktor NParks berjaya menangkap seekor ular sawa dipercayai seberat 10 kilogram dari longkang di Lorong 1 Toa Payoh sekitar 2.10 petang pada 6 Mei. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pekerja persekitaran menangkap seekor ular sewa di Toa Payoh pada petang 6 Mei dalam satu operasi yang berlangsung sekitar satu jam.

Berita Harian (BH), yang berada di tempat kejadian, di Lorong 1, Toa Payoh sekitar 1.30 tengah hari, mendapati dua pekerja yang memakai ves dengan kekata ‘kontraktor Lembaga Taman Negara (NParks)’ serta beberapa pekerja lain sedang memeriksa dua lubang longkang di pejalan kaki dekat kawasan itu – dipercayai sedang cuba menangkap ular tersebut.

Ular sawa kelabu batik itu, dipercayai seberat 10 kilogram menurut pekerja berkenaan, akhirnya berjaya ditangkap sekitar 2.30 petang, selepas dua pekerja lain tiba di lokasi dengan menggunakan jerat.

Dua pekerja kontraktor Nparks (ves hijau) kelihatan memeriksa beberapa lubang longkang di pejalan kali Lorong 1, Toa Payoh
Dua pekerja kontraktor Nparks (ves hijau) kelihatan memeriksa beberapa lubang longkang di pejalan kali Lorong 1, Toa Payoh - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Ketika ditemui, salah seorang pekerja tersebut, berusia lewat 20-an tahun yang tidak mahu dinamakan, berkata mereka menerima panggilan daripada pihak majlis bandaran bahawa terdapat longkang berdekatan yang tersumbat.

“Air asyik bertakung sahaja dan mengalir dengan perlahan,” katanya merujuk ke satu kawasan sekitar 10 meter dari tempat kejadian.

“Mereka (pekerja majlis bandaran) berkata terlihat ada seekor ular sawa dekat longkang itu, tapi kemudian ia menyusur ke longkang di laluan pejalan kaki.”

Dua pekerja kontraktor NParks kemudian tiba sekitar 1.30 tengah hari dan memeriksa beberapa lubang longkang di laluan pejalan kaki itu.

Mereka mendapati ular itu menyusur masuk ke dalam longkang itu, kata pekerja itu kepada wartawan.

Setelah 30 minit kedua-dua pekerja itu cuba mengeluarkannya, lagi dua pekerja kontrator NParks tiba di tempat kejadian, lengkap dengan jerat berbentuk sebatang galah yang mempunyai tali bulat di hujungnya.

Ular tersebut berjaya dikeluarkan sekitar 2.10 petang dengan keempat-empat pekerja itu kelihatan mengangkatnya keluar dari salah satu lubang longkang tersebut dan memasukkannya di dalam kampit berwarna hitam.

BH telah menghubungi NParks bagi maklumat lanjut.

Pekerja tersebut berkata ukuran ular sawa itu “biasa-biasa” sahaja berbanding ular yang mereka pernah tangkap sebelum ini.

Pekerja kontraktor NParks kelihatan cuba memasukkan ular sawa yang baru ditangkap di Lorong 1 Toa Payoh, ke dalam kampit hitam.
Pekerja kontraktor NParks kelihatan cuba memasukkan ular sawa yang baru ditangkap di Lorong 1 Toa Payoh, ke dalam kampit hitam. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg