Undang-undang anti-penipuan baharu yang dicadangkan akan menyasarkan keldai akaun dalam talian, termasuk mereka yang menggunakan akaun Carousell, TikTok, Telegram dan platform milik Meta.

Ia akan menjadi satu kesalahan untuk memberikan maklumat peribadi bagi membuat akaun sedemikian, serta menyediakan atau membeli akaun tersebut untuk tujuan jenayah.

Perubahan itu merupakan sebahagian daripada Rang Undang-Undang Penipuan (Langkah-Langkah Pencegahan) dan Perkara-Perkara Lain, yang dibentangkan di Parlimen pada 4 Ogos.

Pada ketika ini, undang-undang sedia ada telah menyasarkan keldai wang serta individu yang membekalkan kad SIM dan akaun Singpass mereka untuk digunakan dalam kegiatan penipuan.

Namun, belum ada kesalahan khusus yang membolehkan polis mengambil tindakan terhadap mereka yang menyediakan akaun dalam talian di Facebook, Instagram, WhatsApp, Telegram, TikTok dan Carousell untuk digunakan dalam penipuan.

Jika diluluskan, rang undang-undang itu akan menjadikan perbuatan memberi, menerima, memiliki atau memberikan maklumat peribadi untuk mewujudkan akaun sedemikian bagi tujuan jenayah sebagai satu kesalahan.

Jika disabit kesalahan, keldai akaun dalam talian boleh didenda sehingga $10,000, hukuman penjara sehingga tiga tahun, dan 12 sebatan.

Perubahan itu turut menyasarkan penyedia perkhidmatan dalam talian yang gagal mematuhi kod amalan dan arahan pelaksanaan. Denda maksimum bagi kesalahan itu dinaikkan daripada $1 juta kepada $10 juta.

Bagi kesalahan yang berterusan, denda harian akan dinaikkan daripada $100,000 kepada $300,000.

Dua arahan pelaksanaan telah dikeluarkan kepada Meta pada September 2025 dan Januari 2026, yang mewajibkan syarikat itu melaksanakan langkah-langkah pencegahan penipuan.

Menurut polis, arahan di bawah Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (Ocha) telah mengurangkan kes penipuan berbentuk penyamaran di Facebook.

Jumlah kes penipuan yang menyamar sebagai pegawai pemerintah meningkat lebih dua kali ganda daripada 1,504 kes pada 2024 kepada 3,363 kes pada 2025, menjadikannya kaedah penipuan kelima paling kerap dilaporkan pada tahun tersebut.

Penipuan terus menjadi masalah utama di Singapura, dengan tiga daripada setiap lima laporan polis pada 2025 melibatkan kes penipuan. Secara keseluruhan, $913.1 juta kerugian akibat penipuan direkodkan pada 2025.

Sejak 2019, mangsa penipuan di Singapura telah mengalami kerugian melebihi $4 bilion.

AI digunakan untuk perangi penipuan

Polis berkata sindiket penipuan kini mampu menghasilkan sejumlah besar laman web, akaun dan iklan penipuan dalam tempoh singkat, sekali gus menyukarkan semakan secara manual.

Banyak sindiket penipuan juga telah menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi mereka.

Bagi menangani perkara itu, rang undang-undang tersebut akan membolehkan arahan pencegahan penipuan dikeluarkan menggunakan program komputer, termasuk yang memanfaatkan AI, supaya cubaan penipuan dapat digagalkan dengan lebih cekap.

Polis berkata langkah-langkah perlindungan akan disediakan bagi memastikan program tersebut beroperasi dengan tepat dan adil.

Rang undang-undang itu juga memperkenalkan tiga perintah baharu yang boleh dikeluarkan pihak polis kepada penyedia perkhidmatan seperti bank, syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan dalam talian bagi membanteras penipuan.

Perintah pertama ialah Perintah Pendedahan, yang mewajibkan penyedia perkhidmatan menyerahkan maklumat berkaitan akaun tertentu dan aktiviti yang disyaki berkaitan penipuan.

Perintah kedua ialah Perintah Nyahaktif Akaun, yang mewajibkan penyedia perkhidmatan menyahaktifkan akaun tertentu sehingga 30 hari.

Perintah ketiga ialah Perintah Had Perkhidmatan, yang membolehkan polis mengarahkan penyedia perkhidmatan mengehadkan penyediaan perkhidmatan kepada seseorang bagi tujuan membanteras penipuan.